AM

Banjir: Penduduk Dinasihat Patuh Arahan Pihak Berkuasa Untuk Berpindah

27/11/2024 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihat agar mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda beberapa negeri sejak awal bulan ini.

“Pagi tadi selepas subuh saya buka TikTok dan saya tonton siaran langsung bagaimana beberapa warga di sekitar Kampung Pulai Chondong di Kelantan (berkongsi kawasan mereka) dinaiki air akibat hujan lebat dan paras sungai telah naik yang agak merisaukan.

“Ada sesetengah (penduduk) yang buat siaran langsung, penstriman langsung seolah-olah mereka tidak mahu berganjak dari rumah walaupun air naik agak tinggi dan bila saya teliti (keadaan) air dalam video pagi tadi sekitar pukul 7 dah nampak merisaukan.

“Jadi saya mohon pada semua sekiranya pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk pemindahan ke PPS, tolonglah patuh dengan arahan ini untuk keselamatan kita,” katanya dalam temu bual menerusi panggilan telefon bersama Bernama Radio hari ini.

Bagi mendepani MTL, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menasihati keluarga yang terlibat agar membuat persiapan awal dengan menyediakan beg khas untuk barangan dan dokuman penting bagi memastikan ia mudah dibawa ke PPS serta tidak hilang.

MTL, atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia, dijangka bermula 5 Nov ini dan berterusan hingga Mac 2025. 

Fahmi turut berkongsi mengenai Karnival Komunikasi 2024 yang bakal berlangsung di IWK Eco Park @ Pantai Dalam pada Jumaat dan Sabtu ini dalam usaha meningkatkan kefahaman tentang inisiatif komunikasi dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

“Dunia hari ini kita boleh berkomunikasi dengan mudah, ada macam-macam aplikasi yang boleh kita gunakan dan kita ada banyak platform media sosial di mana kita boleh berjual beli dan ini semua ada baik, ada bahaya.

“Jadi kita harap karnival ini dapat tingkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat dan apa yang kita lakukan dapat memberi manfaat supaya rakyat dapat menggunakan Internet dengan selamat terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata antara pengisian menarik ialah Jualan Rahmah, pencetakan setem menggunakan gambar sendiri oleh Pos Malaysia, pakej daripada syarikat telco, penukaran naskhah al-Quran dan kaunter pembayaran saman.

Karnival Komunikasi 2024 adalah antara usaha Kementerian Komunikasi bagi menarik minat komuniti setempat berkaitan inisiatif anjuran kementerian dan agensi.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang karnival.komunikasi.gov.my serta media sosial rasmi Karnival Komunikasi (Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy