AM

Knight Frank: Malaysia Antara 'Hotspot' Gaya Hidup Dan Pelaburan Terkemuka Di Asia Pasifik

27/11/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Singapura, Australia, Jepun dan Malaysia mendahului kedudukan sebagai 'hotspot' gaya hidup dan pelaburan terkemuka di Asia Pasifik (APAC), menurut agensi perundingan hartanah global, Knight Frank.

Dalam laporan terbaharunya, 'Quality Life-ing: Mapping Prime Residential Hotspots,' Knight Frank menilai 15 pasaran terkemuka berdasarkan lima petunjuk utama iaitu: Ekonomi, Modal Insan, Kualiti Hidup, Alam Sekitar dan Infrastruktur serta Mobiliti.

"Analisis komprehensif ini bertujuan untuk membantu mereka yang mahu berpindah dalam mengenal pasti lokasi ideal yang sejajar dengan keperluan dan pilihan khusus mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan itu, Malaysia, yang muncul sebagai hab untuk inovasi teknologi, menarik syarikat-syarikat teknologi utama seperti Oracle dan Microsoft kerana iklim perniagaannya yang menggalakkan.

“Pasaran kediaman utama negara ini dijangka mengalami kestabilan dan pertumbuhan secara beransur-ansur, mencerminkan daya tahan yang lebih luas dalam sektor hartanah di rantau APAC.

“Kuala Lumpur juga kekal sebagai pasaran paling mampu milik di APAC, dengan harga kediaman utama sekitar US$242 sekaki persegi, menjadikannya pilihan utama untuk penempatan semula ekspatriat,” kata Knight Frank (US$1=RM4.455).

Ia menambah walaupun berdepan cabaran daripada kenaikan kadar faedah, pasaran hartanah Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila urus niaga direkodkan dengan ketara pada awal 2024.

“Inisiatif kerajaan seperti mengekalkan kadar faedah pada 3.0 peratus dan menawarkan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama, dijangka merangsang permintaan.

“Kuala Lumpur adalah titik tumpuan untuk pertumbuhan ini, yang mana projek-projek kediaman baharu memenuhi keutamaan pembeli yang berkembang, terutamanya dalam kalangan isi rumah keluarga tunggal yang mencari pembangunan berorientasikan gaya hidup,” kata agensi itu.

Ia juga berkata daya tarikan hartanah Malaysia diperkukuhkan dengan lokasi strategik dan budaya yang kaya, menjadikannya pilihan menarik bagi pelabur tempatan dan asing yang mencari peluang untuk kediaman berkualiti.

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia Keith Ooi berkata kedudukan unik Malaysia sebagai hab inovasi teknologi yang semakin meningkat telah menarik perhatian global, terutamanya dalam bidang transformasi digital.

"Kehadiran pemain-pemain utama seperti Oracle dan Microsoft, ditambah dengan gaji yang kompetitif dan persekitaran mesra perniagaan, menjadikan Malaysia memiliki daya tarikan yang kuat sebagai destinasi strategik untuk pelaburan," katanya.

Dengan inisiatif seperti insentif sifar cukai untuk pejabat keluarga di Forest City, Ooi berkata Malaysia sedang meletakkan dirinya sebagai hab pengurusan kekayaan alternatif untuk melengkapkan negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong.

"Momentum ini, digabungkan dengan warisan budaya negara yang kaya dan kualiti hidup yang mampu dimiliki, menjadikan Malaysia pilihan menarik untuk individu dan perniagaan yang mencari peluang pertumbuhan jangka panjang di Asia Pasifik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy