JENAYAH & MAHKAMAH

Tinggalkan Dua Anak Di Rumah Tanpa Pengawasan, Tukang Urut Wanita Dipenjara Sebulan

27/11/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Seorang wanita dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku mengabaikan dua anak lelakinya termasuk seorang bayi berusia 14 bulan dengan meninggalkan mereka tanpa pengawasan di rumah mereka, bulan lepas.

Hakim Norshila Kamaruddin memerintahkan tukang urut berusia 41 tahun itu menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 9 Okt lepas. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang di sini pada 7.27 malam 7 Okt lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa ada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berumur kira-kira setahun terkurung dalam sebuah rumah dan tertuduh dilaporkan sudah dua hari tidak pulang.

Hasil siasatan mendapati wanita itu telah melakukan pengabaian dengan keluar rumah dan meninggalkan dua anaknya sehingga pihak bomba terpaksa memecahkan pintu untuk menyelamatkan mereka.

Wanita itu telah memberi alasan dia tiada di rumah kerana keluar bekerja di kawasan Pudu sebagai tukang urut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. 

“Hukuman berbentuk pengajaran dapat memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak mengabaikan kanak-kanak tanpa pengawasan.

"Keselamatan dan kebajikan anak-anak adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa mereka,” katanya. 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy