JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Hantar 74 Pendatang Tanpa Izin Pulang Ke Negara Asal

27/11/2024 09:19 PM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 74 pendatang tanpa izin dari Filipina dan Myanmar yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing hari ini.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua mereka iaitu 53 lelaki dan 18 wanita serta tiga kanak-kanak berumur enam hingga 54 tahun dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin itu sebelum ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan untuk dipindahkan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama.

"Kesemua pendatang tanpa izin yang dipindahkan ke negara asal juga telah disenarai hitamkan bagi mencegah mereka daripada memasuki semula negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Meor Hezbullah berkata program penghantaran pulang itu sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membenteras pendatang tanpa izin yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.

Sementara itu, Meor Hezbullah dalam kenyataan berasingan malam ini berkata 10 warga asing daripada 39 orang yang diperiksa, telah ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan menerusi serbuan dalam operasi di pelbagai jenis premis sekitar daerah Kinta di sini yang bermula dari 3 petang hingga 6.30 petang semalam.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

“Kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) akta yang sama serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Meor Hezbullah meminta orang ramai agar membuat laporan atau aduan bagi membantu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak membanteras kebanjiran pendatan tanpa izin, selain jabatan itu juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggaji atau melindungi mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy