RENCANA

Mudahnya Menderma, Tapi Sumbangannya Ke Mana?

28/11/2024 10:40 AM
Daripada Muhammad Basir Roslan & Balkish Awang

Mutakhir ini, kegiatan mengutip derma dalam talian dilihat semakin berleluasa, baik oleh badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan yang menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Bagaimanapun, pendakwaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas individu dan pertubuhan berhubung penyelewengan sumbangan orang awam yang melibatkan jutaan ringgit, mengetengahkan beberapa isu, antaranya ketelusan dan pihak pemantau.

Bernama mengupas persoalan ini menerusi laporan khas tiga bahagian.

 

Rakyat Malaysia memang pemurah.

Tanpa mengira bangsa dan agama, sumbangan akan mencurah-curah masuk ke dalam tabung yang ditubuhkan apabila berlaku tragedi atau bencana, baik yang menimpa orang perseorangan mahupun sekumpulan besar komuniti.

Kecanggihan teknologi dan pengaruh media sosial pula memudahkan kutipan dibuat dalam masa singkat tanpa perlu lagi mengetuk pintu dari rumah ke rumah ataupun meletakkan tabung di tempat-tempat tertentu, seperti satu ketika dahulu.

Buktinya, pernah dilaporkan sebanyak RM1 juta berjaya dikumpul dalam tempoh kurang daripada 24 jam bagi membantu mangsa bah besar di Selangor pada penghujung 2021. 

Pada 2022 pula, sejumlah RM97,000 dihimpun, juga tidak sampai 24 jam, untuk disumbangkan kepada keluarga dua penghantar makanan atau p-hailing - seorang maut dan seorang lagi cedera parah- dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika kedua-dua penunggang itu berhenti di persimpangan berlampu isyarat.

Kedua-dua tabung ad hoc itu diwujudkan oleh seorang pempengaruh yang dilaporkan telah secara telus menunjukkan agihan sumbangan orang ramai tersebut kepada mangsa-mangsa terlibat.

 Kemurahan hati rakyat dan kecanggihan teknologi ini jugalah yang mendorong pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta orang persendirian dengan mudah mewujudkan tabung bagi mengumpul dana, antaranya untuk mangsa perang di luar negara seperti Palestin dan Syria, golongan tidak bernasib baik di negara ini, bantuan membina madrasah, pusat tahfiz dan pelbagai lagi.

Pelbagai platform digunakan bagi tujuan itu, termasuk menyumbang secara langsung ke akaun bank milik NGO atau individu tertentu, selain ada juga yang menggunakan kaedah pendanaan khalayak seperti JomDonate, KitaFund dan GoFundMe.

Pada masa sama juga, hanya sekali menderma si penyumbang bagaikan terperangkap, apabila dihubungi sama ada melalui teks pesanan ringkas atau e-mel secara berterusan oleh NGO dan pihak berkenaan, “meminta” agar terus menyumbang. 

 

PENYELEWENGAN

Dari satu sudut, inisiatif NGO dan pihak yang berkenaan ini wajar dipuji kerana prihatin akan nasib golongan yang menderita, namun ada cerita kurang enak dikutip di media sosial apabila dikatakan wujud pihak menangguk di air keruh, mengaut kutipan untuk kegunaan sendiri termasuk bermewah-mewahan.

Lebih-lebih lagi, tidak semua yang melaksanakan kutipan itu membentangkan atau mendedahkan bagaimana bantuan tersebut disalurkan.


The public is encouraged to always check the validity of the information and the purpose of the donation made by any donation collector to avoid any misappropriation of funds.

Dalam satu tinjauan rambang Bernama, ramai yang mengakui mereka pernah menderma dalam talian namun tidak pernah tahu sama ada sumbangan mereka itu sampai kepada yang memerlukan.

“Tak apalah... itu antara yang mengutip (derma) dengan Allah. Yang penting kita dapat ganjaran pahala menderma,” kata kebanyakan mereka yang ditanya oleh Bernama.

Bagaimanapun tidak semua sependapat. 

“Eh, saya nak tahu duit saya ke mana… hati akan rasa lebih tenang kalau duit itu sampai ke tangan yang memerlukan, bukan ke poket penderma. Saya tak reda kalau itu yang berlaku,” kata Azfar seorang jurupulih perubatan.

Isu ini bukan telahan atau sangkaan semata-mata kerana kerap kali juga di media sosial  “mangsa” yang kononnya mahu dibantu, tampil menjelaskan dia tidak lagi memerlukan bantuan itu atau ada pihak mengambil kesempatan mengutip derma menggunakan namanya, namun sumbangan tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya.

Justeru, berita tentang empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh, didakwa di mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan derma orang awam berjumlah RM3 juta pada Julai lepas, tidak sepatutnya memeranjatkan.

Kes itu juga bukan yang pertama, kerana pada penghujung tahun lepas masyarakat dikejutkan dengan laporan sebuah badan amal terkenal disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas dipercayai menyelewengkan dana sumbangan orang awam untuk rakyat Palestin. 

Rentetan itu, pemimpin badan amal tersebut didakwa di mahkamah dan kes berkenaan masih belum selesai.

Selain itu, semakan dengan Polis Diraja Malaysia menunjukkan bagi tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak 85 kes penipuan membabitkan derma dan sumbangan berjumlah RM667,845 direkodkan.  

Untuk sembilan bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 10 kes direkodkan, melibatkan kerugian berjumlah RM133,369.50.

Mungkin statistik itu tidak mencerminkan realiti sebenar, kerana menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kebanyakan laporan tersebut dibuat oleh NGO selepas namanya digunakan oleh pihak lain bagi mengutip derma. 

 

KOS PENTADBIRAN

Dalam pada itu, timbul pula isu kos pentadbiran yang “menghalalkan” pertubuhan mengambil sebahagian daripada sumbangan orang ramai.  

Bernama menghubungi beberapa NGO dan bertanyakan tentang hal itu. Ada yang mengaku mengambil beberapa belas peratus bagi menampung kos pentadbiran dan ada juga yang berkata mereka dibenarkan mengambil hingga 30 peratus. 


A married couple of social media influencers believed to be involved in the embezzlement of donation collection money were recently remanded by the police to assist in the investigation.

NGO lain pula memilih berdiam diri.

Bernama mengajukan pertanyaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau lebih dikenali masyarakat sebagai RoS, tentang kos pentadbiran berkenaan. 

“JPPM ada mengeluarkan garis panduan (pertubuhan) boleh menggunakan hingga 30 peratus (daripada kutipan sumbangan) bagi tujuan kos pentadbiran. Walau bagaimanapun, garis panduan itu tidak bersifat mengikat,” kata jurucakap jabatan itu menerusi WhatsApp.

Menyoroti kenyataan JPPM berserta cakap-cakap di media sosial tentang kewujudan golongan mengutip derma untuk diri sendiri, mendorong Bernama melakukan semakan dari segi garis panduan dan perundangan tentang kutipan sumbangan, khususnya dalam talian.

Malangnya, Bernama difahamkan setakat ini tidak ada garis panduan ataupun akta bagi mengawal dan memantau kegiatan itu.  

Ketika ini Malaysia hanya menguatkuasakan  Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 yang meliputi jenis kutipan di jalanan atau secara fizikal. Kali terakhir akta ini disemak ialah pada Februari 1978.

Umumnya, akta ini antara lain mewajibkan permit bagi melaksanakan kutipan derma secara fizikal, iaitu dari rumah ke rumah atau secara bersemuka. Namun, bagaimana pula dengan kutipan dalam talian?

Malah, JPPM sendiri mengakui tidak ada dasar tentang kutipan derma oleh NGO yang ditetapkan oleh jabatan itu, namun setiap pertubuhan perlu menghantar laporan tahunan kepada JPPM, termasuk laporan kewangan.

Berdasarkan semakan Bernama itu, dapat diandaikan pada masa ini sesiapa sahaja boleh menjalankan kutipan derma tanpa sebarang permit atau kebenaran pihak berkuasa, kerana tidak ada pemantauan.

Asal sahaja mereka mempunyai “tujuan sah” seperti membantu menampung kos perubatan seseorang, membina rumah orang miskin dan pelbagai lagi, maka “halal” bagi mereka melaksanakan kutipan derma. 

 

PERLU BERHATI-HATI

Dalam pada itu, tinjauan rambang Bernama dalam kalangan orang awam mendapati rata-rata melihat isu berkenaan melibatkan pilihan, sama ada mereka mahu menderma ataupun tidak.

 "Tidak dinafikan cara kutipan (dalam talian) ini sangat mudah. Hanya bermodalkan gambar dan video yang menyedihkan berserta kapsyen meruntun jiwa, sudah pasti ramai ahli masyarakat yang bersimpati.


There have been too many cases of embezzlement of donation funds online, probably due to the lack of monitoring by the authorities and the greed of the fundraisers.

“Lebih-lebih lagi budaya kita yang memupuk sikap cakna dan prihatin  golongan kurang bernasib baik dan kesedaran untuk berkongsi. Cara hendak menyumbang juga mudah, hanya dengan beberapa klik di telefon pintar, duit sudah bertukar tangan,” kata Siti Azielah Wahi.

Mengakui akan kemungkinan wujud golongan mengambil kesempatan itu, pekerja sektor swasta berkenaan menyarankan agar kempen kesedaran dipertingkat.

 “Selain itu, mungkin pihak berkuasa juga boleh membangunkan satu mekanisme yang mesti dipatuhi oleh semua NGO dan mereka yang mahu mengutip sumbangan, bagi memastikan kempen derma tersebut sah dan telus,” saran wanita itu.

Turut mengakui yang dia sendiri gemar menderma secara dalam talian, Siti Azielah bagaimanapun menegaskan dia memastikan tidak ada penglibatan pihak ketiga dalam kempen berkenaan, iaitu mengutip derma bagi pihak lain.

Bagi Masry Che Ani, 50, dia lebih suka menderma secara langsung kepada institusi atau orang yang memerlukan.

"Lebih baik hulur sumbangan secara langsung (kepada orang berkenaan) atau (salurkan kepada masjid) di kawasan tempat kita tinggal… ini lebih selamat dan kita pun kenal ahli jawatankuasa (masjid) serta mereka yang menguruskan wang derma," katanya.

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy