GAYA HIDUP

Req Arif Kumpul Lebih 500 Figura Superhero

28/11/2024 12:45 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

CYBERJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Mengagumi superhero yang muncul dalam rancangan televisyen serta menjadi kegilaan kanak-kanak pada era lewat 80an hingga 90an di seluruh dunia, mendorong lelaki berusia awal 40-an ini mengumpul barangan mainan termasuk figura serta robot siri animasi Power Rangers dan Super Sentai.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Req Arif, setakat ini sudah mengumpulkan lebih 500 barang mainan berkaitan siri Super Sentai dari Jepun, bermula dari edisi pertama 1975 hingga terkini dan siri Power Rangers dari Amerika Syarikat dari 1993 hingga 2023.

pic-2 

Selain dua figura popular itu, Req Arif turut memiliki koleksi mainan lain, antaranya, Gundam, He Man and the Masters of the Universe, Marvel Legends, Star Wars dan Transformers dan kesemua barangan mainan disusun kemas, menghiasi setiap genap ruang di dua bilik termasuk sebuah bilik stor di tingkat tiga kediamannya.

Antara figura atau robot dalam koleksinya yang mempunyai nilai harga tinggi ialah pedang robot Voltron keluaran tahun 1984 berharga RM20,000; robot Mecha Super Sentai DX Maskman GreatFive (1987) berharga sekitar RM7,000-RM10,000 dan robot  Megazords Mighty Morphin Power Rangers (1993), dianggarkan harga RM2,500-RM10,000.

pic-3

Berkongsi dengan Bernama kisah hobinya itu, Req Arif berkata, dia mula mengumpul barangan mainan superhero secara serius sejak tahun 2014 iaitu selepas kedudukan ekonomi keluarganya stabil kerana untuk membeli barangan mainan itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi dengan ada yang mencecah ribuan ringgit.

“Saya mempunyai tiga orang anak. Sebelum tahun 2014 mereka masih kecil dan keperluan membesarkan mereka juga pada masa itu adalah tinggi. Jadi, saya utamakan keluarga dahulu berbanding minat.

“Namun, apabila anak-anak sudah semakin besar dan gaji juga bertambah, jadi adalah duit yang saya boleh belanjakan untuk membeli barangan mainan ini,” katanya yang berkhidmat sebagai Pengurus Transformasi Pasaran di sebuah syarikat perundingan antarabangsa.

pic-4

Menurut Req Arif, usaha mengumpul barang mainan itu juga adalah sebagai pelaburan masa depan kerana item yang dikategorikan terhad dan jarang ada, mempunyai permintaan sekali gus harganya melonjak tinggi.

“Dulu, saya adalalah seorang ‘gamer’ dari sekolah, universiti hingga awal bekerja. Bermain ‘game’ boleh buat saya ketagih untuk membelanjakan puluhan ribu ringgit kerana ada sesetengah ‘game’ itu kita perlu membayarnya untuk bermain.

“Sampai ketika saya berfikir game hanyalah virtual, bukannya fizikal atau aset yang boleh dijual semula, sedangkan saya dah habiskan banyak duit tapi tiada satu sen pun dapat balik sebagai keuntungan selepas bermain, hanya kepuasan bermain semata-mata,” katanya.

  Selain menggunakan kiriman pos dari luar negara, Req Arif berkata dia turut menjelajah ke 15 buah negara, antaranya, Australia, Jepun, Thailand dan United Kingdom bagi ‘memburu’ permainan antik dan eksklusif.

“Biasanya saya melancong kerana bercuti dan semasa itulah saya akan memburu mainan-mainan yang  lama. Kebanyakan ada dijual di pasar karat atau jualan but kereta. Contohnya di DenDenTown Osaka, Jepun dan Brunswick Flea di Melbourne, Australia,” katanya yang turut menerbitkan buku iaitu “Kembara Hobi:Tips dan Lokasi Pencarian pada 2018.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy