AM

Kos Keseluruhan Pembesaran LTAPP Dianggar RM1.55 Bilion, Hampir Keseluruhan Dibiayai MAHB

28/11/2024 02:55 PM

GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) -- Kos keseluruhan bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dianggarkan RM1.55 bilion dengan hampir keseluruhannya akan dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata ia dibiayai tanpa sebarang kerjasama dengan syarikat swasta lain dan melibatkan pembesaran kapasiti lapangan terbang daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang apabila siap kelak.

“Projek pembesaran LTAPP melibatkan tiga pakej iaitu Works Package 1 (WP01) melibatkan kerja-kerja bangunan sokongan dan pembinaan Remote Digital Virtual Tower (RDVT); Works Package 2 (WP02) melibatkan kerja-kerja infrastruktur airside dan apron.

“Works Package 3 (WP03) pula melibatkan kerja-kerja di terminal utama dan buat masa ini, surat anugerah (LOA) bagi WP01 telah dikeluarkan pada Julai 2024,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) yang meminta disenaraikan semua penerbangan terus ke LTAPP,  jumlah penumpang domestik dan antarabangsa bagi 2024, status penaiktarafan, kerja penaiktarafan infrastruktur dan penyuraian trafik sekitar LTAPP.

Mengenai tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Chung San dekat sini yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek pembesaran LTAPP, Zairil berkata proses pewartaan di bawah Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 416) sedang disempurnakan pada masa kini.

Beliau berkata setelah pengambilan tanah selesai kelak, Lembaga Pentadbir Sekolah SJK (C) Chung San boleh menguruskan perolehan tapak sekolah serta pembinaan bangunan yang baru dengan menggunakan pampasan pengambilan balik tanah yang akan dibayar mengikut ketetapan Akta 486.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga memaklumkan jumlah ketibaan domestik dan antarabangsa yang direkodkan mulai Januari hingga September 2024 masing-masing adalah 1.34 juta bagi ketibaan domestik dan 1.39 juta bagi ketibaan antarabangsa.

Beliau berkata LTAPP mempunyai 19 penerbangan terus antarabangsa termasuk daripada Phuket, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Dubai, Shanghai, Shenzhen, Chongqing, Kunming dan Doha.

Pada 27 Feb lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerajaan telah meluluskan projek pembesaran LTAPP dan ia juga diumumkan oleh Perdana Menteri datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy