KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,043 pemain akan beraksi pada Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2024, yang akan berlangsung di empat lokasi berbeza dari 3 hingga 8 Dis.
Kejohanan tahun ini mencipta rekod baharu selepas jumlah peserta meningkat daripada 900 peserta pada 2023.
Kontinjen Malaysia juga adalah yang terbesar dengan 711 pemain dari semua negeri, termasuk pemain elit Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, yang mengambil bahagian dalam acara Skuasy Remaja Asia terbesar, dan kedua terbesar di dunia selepas Terbuka Remaja Amerika Syarikat (AS).
Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) Steven Kwan berkata selain Malaysia, 24 negara lain termasuk Mesir, AS, Hong Kong dan Switzerland akan bertanding, manakala Switzerland menyertai buat kali pertama.
“Saya gembira kerana kejohanan itu terus menjadi acara Platinum untuk tahun keenam sejak 2018. Kita boleh menjangkakan minggu skuasy yang hebat dengan beberapa perlawanan mendebarkan daripada pemain-pemain ini yang bercita-cita menjadi juara dunia atau Olimpik suatu hari nanti.
“Kejohanan ini akan menjadi platform terbaik untuk mereka mencapai impian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone Digital Berhad Lau Bik Soon berkongsi rasa bangganya dalam menyokong acara berprestij itu sebagai penaja utama selama 11 tahun berturut-turut.
“Ia memberi inspirasi untuk melihat perkembangan luar biasa bakat muda di negara kita. Kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk memupuk dan mempamerkan potensi mereka,” katanya.
Kejohanan berkenaan akan berlangsung dari 3 hingga 8 Dis di empat venue berbeza iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta, Kompleks Sukan Sky Arena (Setapak) dan Kelab Diraja Selangor di Kuala Lumpur, dan Gelanggang Skuasy Astaka di Petaling Jaya.
Terdapat enam kategori akan dipertandingkan, masing-masing dalam acara lelaki dan perempuan iaitu Bawah-9, Bawah-11, Bawah-13, Bawah-15, Bawah-17, dan Bawah-19.
Kesemua perlawanan separuh akhir dan akhir akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Jalan Duta, dan masuk adalah percuma.
-- BERNAMA