JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang bekas peserta program realiti komedi terbitan sebuah stesen televisyen berbayar tempatan sekitar sini awal pagi ini, kerana dipercayai merogol seorang gadis berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek berumur lingkungan 40-an itu, yang kini direman hingga 2 Dis bagi membantu siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, dan sebatan.
-- BERNAMA