KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Tiada keperluan mengisytiharkan darurat bencana banjir di Kelantan kerana situasi masih terkawal, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Datuk Ab Pattah Hasbullah.
Beliau berkata darurat hanya akan diisytiharkan sekiranya situasi banjir di negeri ini semakin memburuk dan tidak terkawal.
“Masih terlalu jauh untuk menentukan ke arah pengisytiharan darurat, setiap hari kita mengadakan mesyuarat bencana di peringkat negeri.
“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Datuk SUK negeri, kita berbincang dan akan maklum kepada Menteri Besar Kelantan sebelum dibawa ke NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan memaklumkannya kepada Perdana Menteri untuk menentukan sama ada perlu darurat atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ab Pattah berkata walaupun 10 daerah di Kelantan terjejas banjir tetapi ia masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana telah diatur daripada awal.
“Peristiwa bah kuning pada 2014 kita isytihar darurat kerana waktu itu paras ketinggian air di Tangga Krai mencecah 34.1 meter. Kini paras sungai di kawasan itu berketinggian 10 meter dan jauh lagi daripada paras bahaya.
“Ketika ini memang ada beberapa sungai di Kelantan mencecah paras bahaya tetapi masih dalam kawalan dan jauh lagi daripada tragedi bah kuning 2014.
“Apabila sesuatu darurat diisytiharkan segala aset-aset dan peruntukan akan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, mengenai insiden siren amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang berbunyi secara automatik sebanyak tiga kali di Menara Tinjau Tambatan D'Raja berhampiran Sungai Kelantan seperti tular di media sosial hari ini, Ab Pattah berkata siren berkenaan mengalami masalah gangguan teknikal.
“Siren itu dikendalikan oleh JPS dan mereka sedang menyiasat punca kerosakan. Orang ramai diminta jangan panik dan tidak membuat sebarang spekulasi.
“Sungai Kelantan ketika ini masih lagi di peringkat amaran namun paras air sungai itu sedang mendadak naik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meminta agar semua pihak tidak menghebahkan berita atau menyiarkan gambar palsu berkaitan bencana banjir di negeri itu.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga esok, dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.
-- BERNAMA