KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- The Temple of Fine Arts (TFA) akan menjadi tuan rumah Shantanand Festival of Arts (SFA) 2024 bermula esok hingga 1 Disember depan, memaparkan epik unggul Ramayana menerusi persembahan, bengkel dan pertunjukan kebudayaan.
Bertemakan “Echoes of the Past,” SFA 2024 akan menonjolkan tafsiran semula Ramayana menerusi persembahan bertajuk “I AM RA,” di samping bengkel, beberapa siri persembahan dan makan malam gala.
Menurut TFA dalam satu kenyataan, “I AM RA,” akan mempersembahkan perspektif imaginasi semula epik India Ramayana menerusi kaca mata Ravana, antagonis legenda, dan menambah, ia akan menjurus kepada personaliti legenda itu yang kompleks serta meneroka tema kuasa, kesetiaan dan konflik.
"Persembahan itu nanti mengatasi apa yang pernah Ravana lakonkan sebagai seorang durjana untuk mendedahkan setiap lapisan semangat kemanusiaan dalam wataknya, " kata TFA.
Dipersembahkan selama tiga hari secara berturut-turut, ia akan bermula pada pukul 7.30 malam dari 29 November hingga 1 Disember, di Auditorium Shantanand.
Satu majlis makan malam gala bertemakan Ramayana pula akan diadakan pada 30 November dan 1 Disember, dengan hidangan menu berinspirasikan epik berkenaan.
Tiket untuk festival itu ditawarkan atas asas “bayar mengikut kemahuan” dengan tempat duduk bebas, yang membolehkan para penonton memberi sokongan kepada dunia seni, mengikut pilihan masing-masing.
Untuk membeli tiket dan maklumat lanjut, sila layari sfa.tfa.org.my atau hubungi +603-2274 3709.
-- BERNAMA