AM

RP5 RMK12: Enam Projek Baharu Dipohon Pulau Pinang Diluluskan - Chow

28/11/2024 07:47 PM

GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak enam projek baharu di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dimohon Pulau Pinang telah diluluskan kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata berdasarkan surat daripada Kementerian Ekonomi pada 18 Okt lepas, kelulusan berkenaan melibatkan peruntukan RM199.14 juta dengan RM1.95 juta disediakan bagi 2025.

“Enam projek itu ialah pembangunan semula Dewan Seri Pinang dan Galeri TYT (RM52 juta), pembinaan bentung saluran keluar dan struktur mencegah hakisan pantai di Batu Feringghi dan Tanjung Bungah (RM61.2 juta) dan pembinaan jejambat di Jalan Sultan Azlan Shah (FT006) dari Seksyen 9.50 sehingga Seksyen 10.0 (RM75 juta).

“Selain itu, pembinaan padang permainan di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Daerah Barat Daya (RM1.50 juta), pembaikan dan penggantian ruang penyejuk di Hospital Kepala Batas (RM4.40 juta) dan menaik taraf sistem tangki bekalan air dan lain-lain kerja berkaitan di Hospital Balik Pulau (RM5 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Chow memaklumkan satu projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), RMK12 iaitu pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Bayan Lepas dengan anggaran kos RM72.64 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi 19 jabatan dan agensi telah mengemukakan 93 permohonan projek kepada kementerian terlibat dan dipanjangkan kepada Kementerian Ekonomi untuk penilaian lanjut di bawah RP5 RMK12, namun hanya enam projek diluluskan.

Sementara itu Chow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri memberitahu Jabatan Kewangan Negeri sedang menyemak semula kadar-kadar duti hiburan bagi meningkatkan lagi hasil negeri melalui Cukai Tidak Langsung.

Beliau berkata statistik permohonan lesen hiburan di Pulau Pinang yang semakin meningkat juga menyumbang kepada peningkatan kutipan duti hiburan pada tahun akan datang.

Chow berkata menerusi Belanjawan Pulau Pinang 2025, Jabatan Kewangan Negeri telah menstruktur semula penjenisan kod duti hiburan kepada kod yang lebih tepat dan betul berbanding 2023 yang memberi kesan kepada jumlah beberapa butiran anggaran duti hiburan 2025.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy