AM

Ananda Krishnan Tokoh Utama Bangunkan Industri Media, Telekomunikasi Dan Hiburan Di Malaysia

28/11/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Taikun perniagaan, Ananda Krishnan adalah tokoh terkemuka dalam menerajui sebuah konglomerat yang mempengaruhi perkembangan dan evolusi media Malaysia, telekomunikasi serta industri hiburan dengan ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd Euan Smith berkata syarikat hiburan itu bersedih atas pemergian pemegang sahamnya, sumbangannya yang tidak ternilai harganya telah membantu membentuk industri tersebut.

Beliau berkata melalui Astro, Ananda memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menyediakan pekerjaan, memupuk bakat dan memberi kegembiraan menerusi hiburan.

"Visi Ananda Krishnan bukan sekadar menubuhkan syarikat, beliau mencipta satu tujuan. Komitmennya yang berterusan terhadap kecemerlangan dan kemanusiaan akan terus memberi inspirasi kepada kita untuk meneruskan legasinya.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya dalam waktu kesedihan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Measat Global Bhd dalam satu kenyataan berkata visi perintis Ananda adalah penting dalam mewujudkan industri satelit Malaysia dan memajukan misi Measat untuk menghubungkan komuniti dan memacu kemajuan.

"Legasi beliau dalam inovasi dan sikap kedermawanan beliau akan terus memberi inspirasi kepada kita. Measat merakamkan ucapan takziah atas pemergian pengasas Measat," katanya.

Maxis Bhd dalam satu kenyataan berasingan pula berkata bimbingan Ananda selama ini membantu mengemudi Maxis menjadi perniagaan yang kukuh hari ini.

“Sumbangan beliau kepada pembangunan di Malaysia dan dunia perniagaan adalah sangat ketara...kami sangat menghargainya. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Ananda,” kata syarikat itu.

Ananda Krishnan, yang meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun, menubuhkan syarikat pelaburan utamanya, Usaha Tegas Sdn Bhd pada 1984 yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada legasinya.

Beliau menubuhkan syarikat telekomunikasi, televisyen satelit, perkhidmatan medan minyak dan pembangunan hartanah, ia merupakan industri penting kepada landskap korporat Malaysia.

Antara syarikat miliknya, TGV Cinemas, Maxis Bhd, Astro Holdings, Bumi Armada, Measat Satellite Systems dan Tanjong Plc bersama-sama dengan produk ia tawarkan telah menjadi jenama terkenal di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy