SUKAN

Team Vamos Ikut Jejak Langkah SRG Tewas Aksi Pertama M6

28/11/2024 08:48 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Hasrat wakil negara Team Vamos untuk memulakan kempen sulung di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M6 di sini hari ini dengan keputusan positif, tidak kesampaian apabila tumpas kepada wakil Arab Saudi Twisted Minds.

Team Vamos dibarisi Muhd Nazhan Mohd Nor (Chibi), Mohd Zulhisyam Mohd Nor (Xorn), Rizky Agustian (Warlord), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) dan Kenneth Sablande Barro (Nets), bermula baik pada awal permainan.

Bagaimanapun corak permainan anak buah Khairul Azman Mohd Sharif (Pabz) bagai hilang arah pada lewat perlawanan, sekali gus membuka ruang kepada Twisted Mind untuk memenangi aksi itu dengan skor 21 kills berbalas 14 dalam aksi yang berlangsung hampir 19 minit.

Pabz berkata segala perancangan yang dilakukan hari ini berjalan dengan baik, cuma pelaksanaannya gagal dilakukan dengan baik oleh pemain team Vamos.

“Beberapa execution hari ini kurang kemas. Tapi saya tidak pasti sama ada ia disebabkan ini perlawanan pertama, kondisi pemain ataupun kami tidak jelaskan dengan baik.

“Kekalahan ini merupakan satu tamparan yang hebat buat kami. Jadi kami perlu kaji semula untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada media sejurus selepas perlawanan.

Mengulas berkenaan perancangan seterusnya, beliau merasakan pemain-pemainnya perlu mengemaskan permainan mereka, bagi mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat yang seterusnya.

“Apa yang boleh saya katakan pada hari ini ialah kami bermain kurang kemas hari ini. Saya rasa apa yang perlu kami perbaiki, memperkemaskan lagi permainan kami dan lebih teratur,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy