AM

Sidang DUN Pulau Pinang Ditangguh, Belanjawan Negeri 2025 Dilulus

28/11/2024 08:57 PM

GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung sejak 22 Nov, ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Pulau Pinang ke-15 selama lima hari itu menyaksikan sebanyak 78 soalan lisan, 782 soalan bertulis, empat usul serta satu rang undang-undang telah dibentangkan.

Lebih manis, Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 yang dibentangkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah diluluskan melalui undian suara, selepas dibahaskan 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Isnin.

Pada 22 Nov, Chow membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM940.223 juta bagi perbelanjaan mengurus dengan anggaran defisit terendah dalam sejarah negeri iaitu RM33.63 juta.

Saiz Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi MADANI, Rakyat Diperkasa, Negeri Sejahtera' itu, berkurang RM106.78 juta berbanding Belanjawan 2024 iaitu RM1.047 bilion.

Pada permulaan sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Pulau Pinang ke-15 pada Jumaat lepas, Naib Yang Dipertua (YDP) PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, telah  mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Bakap di hadapan Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

Abidin, 56, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 6 Julai dengan majoriti 4,267 undi selepas memperoleh 14,489 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

Antara usul yang diluluskan termasuk usul jawatankuasa peraturan-peraturan mesyuarat, usul pembatalan pelantikan dan pelantikan baharu pengerusi dan seorang ahli Lembaga Rayuan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 (Enakmen 16) bagi sesi 2024/2027.

Sebelum menutup tirai, Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini turut sebulat suara tanpa bahas meluluskan penyelarasan pengurusan dan pentadbiran Akaun Amanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk pengasingan Akaun Amanah di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelbagai Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang.

Penyelarasan itu juga melibatkan penutupan Akaun Amanah Kerajaan yang telah tidak digunakan dan pengkelasan semula Akaun Amanah daripada Seksyen 9 ke Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy