AM

MOTAC Rancang Anjur Simposium Ekonomi Kreatif Februari Depan, Tingkat Potensi Kebolehpasaran

29/11/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang menganjurkan simposium ekonomi kreatif tahun depan bagi mempromosi serta meningkatkan potensi kebolehpasaran produk seni yang dihasilkan oleh negara-negara ASEAN.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman berkata simposium itu adalah antara program penting di bawah tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang dijangka berlangsung pada Februari 2025 di Kuala Lumpur dengan penglibatan peserta dari negara anggota.

“Kita ingin berkolaborasi dengan United Kingdom (UK) kerana kita dapat berkongsi apakah maksud ekonomi kreatif ini dan bagaimana kita boleh memanfaatkannya dari segi kepelbagaian kebudayaan serta menentukan kesenian kita ini dapat membawa keuntungan kepada masyarakat.

“Kita harap ramai akan hadir ke simposium ini, kita akan cuba mengumpulkan sebanyak mungkin belia di negara ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan juga belajar daripada negara anggota serta UK dengan harapan kita dapat menjemput pakar-pakar dari segi ekonomi kreatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas sesi taklimat bagi ASCC di Kompleks Kraf di sini.

Roslan juga berkata ekonomi kreatif adalah antara perkara baharu di Asia khususnya ASEAN dalam aspek bagaimana sesetengah negara dapat memanfaatkan sektor seni dan budaya bagi menjana ekonomi.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya sedang mengenal pasti akademia atau individu yang boleh mengolah idea ekonomi kreatif semasa simposium itu berlangsung.

Roslan berkata MOTAC telah berbincang dengan pelbagai pihak mengenai simposium itu dan akan meneruskan inisiatif serta program berkaitan selaras dasar kebudayaan yang dilancarkan untuk memajukan sektor ekonomi kreatif di Malaysia.

“MOTAC dan jabatan di bawah sektor kebudayaan akan mempelopori perkara ini. Jadi melalui Simposium Ekonomi Kreatif ini kita akan menggabungkan dua sektor di bawah ASEAN iaitu sektor ekonomi dan juga sektor kebudayaan.

“Kita harap (dengan pendekatan ini) kita dapat mengetengahkan lagi kebudayaan kita dan memberi (peluang) pasaran kepada penggiat-penggiat kraf serta kebudayaan yang ada di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy