Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 30 Nov (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh sektor teknologi negara dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) terutama dalam reka bentuk cip semikonduktor bertujuan melatih tenaga kerja yang kompeten dan memajukan inovasi dalam industri yang semakin berkembang.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk memperluas penyelidikan dan inovasi dalam bidang teknologi tinggi, sekali gus menempatkan USM di barisan hadapan dalam industri semikonduktor global.
Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) Prof Madya Dr Asrulnizam Abd Manaf berkata dalam dunia semikonduktor, reka bentuk cip adalah proses rumit dengan setiap perubahan pada seni bina litar perlu diuji dan diperiksa semula, dan sering memerlukan banyak masa serta sumber.
Namun dengan bantuan AI perisian yang dibangunkan, ia mampu mengautomatikkan sebahagian besar proses reka bentuk itu dan AI akan meminimumkan kesilapan reka bentuk dengan mengenal pasti parameter terbaik untuk reka bentuk litar, selain mengelakkan proses ulangan yang mahal dan memakan masa.
"Ia merupakan satu daripada inisiatif utama di USM, iaitu pelajar kita dan penyelidik bekerjasama dengan beberapa syarikat terkenal untuk membangunkan perisian yang akan digunakan dalam reka bentuk cip analog, seperti penjana osilator.
"Sebagai contoh, AI dapat mengoptimumkan reka bentuk cip dengan menentukan kelajuan osilator yang diinginkan tanpa perlu melakukan perubahan berulang kali pada reka bentuk litar, meningkatkan efisiensi dan ketepatan," katanya kepada Bernama.
Asrulnizam berkata pendekatan AI itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan reka bentuk cip semikonduktor, tetapi juga membuka ruang untuk penemuan baharu dalam penghasilan cip yang lebih canggih dan berprestasi tinggi.
Menurutnya, dengan potensi besar ditawarkan oleh teknologi itu USM berharap dapat menarik lebih banyak kerjasama daripada pihak industri dan memberi impak positif kepada pembangunan teknologi semikonduktor di Malaysia.
Beliau berkata ketika ini USM menawarkan pelbagai kursus berkaitan AI di bawah beberapa pusat pengajian merangkumi pelbagai peringkat yang ditawarkan di Pusat Pengajian Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Sains Komputer, dengan memberikan fokus kepada aplikasi AI dalam bidang pengkomputeran.
"Selain itu, USM turut menawarkan program yang memberi penekanan kepada konsep asas AI, pengaturcaraan, dan integrasi antara peranti serta sistem dan walaupun kursus itu lebih kepada bidang sains dan kejuruteraan," katanya.
Beliau memaklumkan USM turut memperkenalkan kursus literasi AI yang unik dan dibuka kepada pelajar daripada pelbagai bidang lain bertujuan memberi pemahaman asas tentang AI serta penggunaannya dalam aplikasi dunia nyata.
Sejak diperkenalkan pada 2020, kursus itu telah mendapat sambutan positif dengan setiap semester, sebanyak 30 hingga 40 pelajar dari pelbagai program telah mengikuti kursus berkenaan yang berlangsung selama satu semester.
Beliau berkata USM turut menjalin kerjasama dengan industri yang membantu dalam pengajaran pelajar serta memberikan peluang kepada mereka untuk memahami kerjaya dalam bidang AI.
Asrulnizam berkata program itu memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam projek penyelidikan industri dan banyak daripada mereka diserap ke dalam syarikat-syarikat besar selepas tamat pengajian.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta.
Menteri Kewangan itu berkata Universiti Malaya (UM) menumpukan teknologi AI bidang perubatan bagi menangkis penyakit maut seperti kanser manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit.
USM pula menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.
-- BERNAMA