AM

Pindaan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 Dibentang Di Parlimen Isnin Ini - Fahmi

30/11/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lepas, akan dibentangkan di Parlimen Isnin ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata cadangan pindaan itu akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna.

Beliau berkata pindaan turut akan menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.

“Kita juga akan bawa nanti Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, malah sudah pinda takrif Mule Account (Keldai Akaun), disusuli pindaan Kanun Keseksaan, serta beri takrifan kepada buli siber termasuk jenayah seperti doxing dan satu lagi kod tatalaku yang dalam draf akhir.

“Semua usaha dan inisiatif ini untuk memastikan Internet lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga. Tumpuan kita kepada aspek kemudaratan dalam talian, judi dalam talian dan scam, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Komunikasi di Pantai Dalam, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan pendaftaran terhadap perlesenan platform media sosial yang bakal berkuat kuasa 1 Jan ini, Fahmi berkata beliau telah meminta semua penyedia platform untuk diberi taklimat berkaitan usaha kerajaan memperkasakan platform Internet.

“Saya minta dalam separuh pertama Disember ini, platform-platform ini diberikan taklimat, supaya mereka faham apa kita usahakan, niat kita, apakah undang-undang yang akan melalui pindaan Akta 588 nanti dan paling penting, apakah peranan mereka untuk pastikan Internet di Malaysia lebih selamat,” katanya.

Mengulas mengenai langkah Australia meluluskan undang-undang melarang individu di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial, Fahmi berkata kerajaan sentiasa mengikuti dan meneliti langkah dan usaha di banyak negara lain, bukan sekadar Australia.

“Waktu ini semua platform media sosial melarang kanak-kanak bawah usia 13 tahun memiliki akaun, WhatsApp contohnya menetapkan had umur 16 tahun berdasarkan Community Guidelines, jadi kita akan bermula dengan had umur yang mereka sendiri tentukan.

“Sekiranya kita lihat mereka berupaya atau tidak berupaya, kemudian saya rasa kita akan teliti (aspek lain),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy