KUALA KRAI, 30 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dan anak perempuannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) sindrom Down terselamat apabila rumah mereka di Kampung Lata Rek, di sini ditimpa tanah runtuh semalam.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan ll Khairul Duha Abdul Halim berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 9.56 malam daripada jiran mangsa.
"Apabila tiba ditempat kejadian didapati berlaku tanah runtuh menghempap bahagian belakang dua rumah dan satu bengkel yang didiami kedua-dua mangsa bersama lapan ahli keluarga yang lain.
"Kami dapati masih berlaku pergerakan tanah dan membuat pengungsian dalam lingkungan radius 60 meter dari jarak runtuhan tanah di kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa terlibat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara di Laloh.
Dalam kejadian berasingan, Ketua Polis Daerah Jeli Supt Saari Yaacob berkata sebuah rumah di Kampung Belahat rosak teruk akibat tanah runtuh dalam kejadian 4 pagi hari ini.
"Kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan jurutera Jabatan Kerja Raya telah melakukan penilaian keadaan terhadap struktur tanah terbabit," katanya.
Sementara itu, penduduk dari lapan kampung di Gua Musang terputus hubungan apabila berlaku runtuhan tanah di jalan utama di KM35 Jalan Gua Musang-Jeli, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata jalan terbabit kelihatan melengkung berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter dan ditutup kepada semua jenis kenderaan.
-- BERNAMA