PATTANI (Thailand), 2 Dis (Bernama) -- Seramai 300 mangsa banjir, termasuk 100 pelajar dan penduduk Kampung Tebing di sini, telah dipindahkan ke bangunan tiga tingkat Sekolah Sasana Suksa selepas kawasan kediaman mereka dilanda banjir.
Banjir yang mula naik ke paras satu meter pada 27 November lepas telah menenggelamkan kawasan perumahan di kampung terlibat, memaksa penduduk mencari perlindungan di sekolah itu.
Penolong Guru Besar Sekolah Sasana Suksa, Abdul Kari Hama berkata air mula melimpahi kawasan perkampungan dan sekolah akibat hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
“Sekolah Sasana Suksa ini adalah sekolah swasta agama Islam yang mempunyai 1,600 pelajar. Berikutan bencana banjir ini, pihak sekolah terpaksa menangguhkan majlis kesyukuran untuk memperingati ulang tahun ke-100 sekolah.
“Ini merupakan kali kedua majlis itu terpaksa ditangguhkan, selepas kejadian sama berlaku tahun lepas,” katanya.
Pada Ahad, Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana (DDPM) melaporkan bahawa banjir yang sedang berlaku telah meragut 12 nyawa, menjejaskan 78 daerah, 508 daerah kecil, 3,387 kampung dan 617,386 isi rumah di tujuh wilayah selatan - Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
-- BERNAMA