AM

Pelaksanaan KBBM Capai Ulang Tahun Ke-40 Tahun Ini

01/12/2024 11:29 AM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), mencapai ulang tahun ke-40 pelaksanaannya tahun ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Adiratno Che Ani berkata KBBM bermula sejak 1984 lagi dan program itu akan terus diperkasakan, sebagai manifestasi usaha kerajaan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat agar terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan.

Beliau berkata KPDN sentiasa menyambut baik usaha rakan strategik untuk melaksanakan KBBM di peringkat premis, bagi mempromosikan serta memasarkan produk tempatan kepada orang ramai.

“Kita harus berusaha untuk mengangkat jenama tempatan, menjadikannya setanding dengan jenama antarabangsa yang terkenal. Ini bukan hanya tentang membeli produk, tetapi lebih kepada memperkukuh identiti negara dan meningkatkan rasa bangga terhadap produk keluaran tempatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Adiratno berkata dengan sokongan berterusan, produk Malaysia akan dapat menembusi pasaran antarabangsa, bukan sekadar dikenali di peringkat tempatan malah diiktiraf di seluruh dunia.

“Ini juga akan membuka peluang besar untuk usahawan tempatan, meningkatkan daya saing industri, dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak.

“Hanya dengan usaha kolektif ini, produk buatan Malaysia akan mampu bersaing dengan jenama global, sekali gus menjadikan negara kita sebagai pusat kecemerlangan dalam inovasi, kualiti dan daya saing,” katanya.

Adiratno berkata hasrat KPDN menerusi KBBM ialah pelaksanaan dapat dilakukan secara meluas dan sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, untuk sentiasa menyokong dan mengutamakan produk jenama tempatan dan perkhidmatan dalam setiap pembelian selaras dengan tagline kempen #Barang Baik Barang Kita.

Beliau berkata kualiti produk Malaysia pada masa kini sentiasa diperbaharui agar setanding dengan produk di luar negara, supaya pengguna didedahkan dengan keunikan dan kualiti barangan tempatan selain menggalakan aliran ekonomi domestik negara dalam mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa.

Adiratno berkata inisiatif KBBM tahun ini mengetengahkan pelbagai inisiatif strategik antaranya pemerkasaan produk tempatan dalam industri peruncitan tempatan, iaitu melibatkan kerjasama antara KPDN bersama rangkaian syarikat peruncitan.

Selain itu, beliau berkata KPDN juga mempromosikan KBBM menerusi platform dalam talian bagi memastikan produk tempatan terus diperkasakan dan diperluas melalui syarikat yang mengendalikan platform itu.

“Kita juga berusaha untuk memartabatkan industri fesyen tempatan menerusi inisiatif jualan bertema bersama para pereka tempatan dan tidak lupa untuk kanak-kanak, kita turut melibatkan kempen ini bersama kolaborasi strategik media animasi digital, untuk mempromosikan kempen ini dalam kalangan pengguna cilik,” katanya.

Selain itu, katanya KPDN telah menganjurkan Karnival KPDN pada tahun ini di empat negeri dan akan datang di Melaka pada 6-8 Dis ini bersempena dengan Tahun Melawat Negeri, yang turut mempromosikan KBBM dengan menampilkan penyertaan para usahawan tempatan di seluruh negara.

Justeru itu, Karnival KPDN Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka nanti pasti menjadi platform kepada usahawan tempatan daripada seluruh Malaysia memperkenalkan produk mereka.

Adiratno berkata KBBM mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakan strategik dan pemain industri yang terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya dan kedai serbaneka bagi menjayakan kempen tersebut tahun ini.

“Pada tahun ini, kementerian bekerjasama bersama 18 rakan strategik yang terlibat dalam melaksanakan Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan Di Bawah Industri Peruncitan Tempatan, yang menjadi antara inisiatif kempen ini,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif itu, pelbagai strategi dan kaedah pelaksanaan telah dirancang bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai ketersediaan produk barangan Malaysia di pasaran tempatan dan memudahkan kebolehcapaian mereka untuk mendapatkan barangan tempatan di rangkaian pasar raya terpilih.

Selain itu, rakyat Malaysia juga berpeluang untuk menikmati baucer atau diskaun bagi setiap pembelian produk tempatan dan KBBM 2024, menampilkan rak pengenalan khas bagi menunjukkan keterangkuman produk Malaysia di pasar raya.

Beliau berkata KPDN juga bekerjasama dengan rangkaian pasar raya besar yang mempunyai cawangan di luar negara untuk turut sama mempromosikan produk Malaysia di luar negara menerusi inisiatif Local to Global Retail.

“Alhamdulillah, pada tahun ini kita telah pun berjaya melaksanakan inisiatif ini di Dubai, Jepun dan Thailand. Kita dapat lihat inisiatif ini juga turut membantu memperluas potensi produk tempatan di pasaran antarabangsa dan meningkatkan ekonomi negara, di samping dapat memperkenalkan produk Malaysia kepada masyarakat luar,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy