KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Isu keciciran pembelajaran, pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan perkhidmatan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara antara tumpuan perbincangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) meminta Menteri Pendidikan menyatakan status semasa pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran, pada sesi soal jawab.
Beliau juga ingin tahu berhubung impak positif penjajaran semula standard pembelajaran dan kandungan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik terhadap bebanan guru di sekolah rendah dan menengah.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi tempoh 2015 hingga Ogos lepas.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan sama ada Malaysia akan berbincang dengan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor 1962 yang membenarkan negara jiran itu menerima 250 juta gelen air dari Johor hingga tahun 2061 pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Selepas sesi itu, tiga rang undang-undang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.
Persidangan Dewan Rakyat seterusnya menyambung semula sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis.
-- BERNAMA