PASARAN

Bursa Malaysia Tinggi Sedikit Pada Tengah Hari

02/12/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi sedikit pada tengah hari ini berikutan kenaikan dalam saham perladangan yang membantu mengimbangi tekanan jualan dalam sektor kewangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.09 mata atau 0.07 peratus kepada 1,595.38 daripada 1,594.29 pada Jumaat lepas. 

Indeks dibuka tinggi 2.55 mata kepada 1,596.84 dan bergerak antara 1,594.64 dan 1,603.94 sepanjang sesi pagi.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 518 berbanding 428 manakala 443 kaunter tidak berubah, 1,026 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.67 bilion saham bernilai RM1.06 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya menjangka minat belian yang berterusan dalam saham perladangan, disokong oleh momentum kenaikan harga minyak sawit mentah yang berterusan dan laporan pendapatan yang kukuh oleh syarikat perladangan.

“Walaupun FBMKLCI merosot di bawah paras 1,600, kami percaya peningkatan semula akan dicatatkan berikutan kita memasuki tempoh memperelokkan akaun.

“Walaupun pendapatan syarikat berorientasikan eksport terjejas akibat kerugian pertukaran asing susulan pengukuhan ringgit pada suku ketiga 2024, kami mengekalkan pandangan positif terhadap sektor seperti teknologi dan sarung tangan, yang dijangka mendapat manfaat daripada penyusutan nilai ringgit sekurang-kurangnya 7.5 peratus sejak akhir September,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kaunter saham wajaran tinggi Maybank berkurangan lapan sen kepada RM10.12, Tenaga Nasional merosot 18 sen kepada RM13.48 dan IHH susut sembilan sen kepada RM7.17. CIMB dan Public Bank, masing-masing naik satu sen kepada RM8.26 dan RM4.48.

Daripada kaunter paling untung, KLK melonjak 62 sen kepada RM21.48, United Plantation naik 60 sen kepada RM30.90 dan Press Metal meningkat 26 sen kepada 4.90.

MPI dan F&N, masing-masing menambah 18 sen kepada RM24.04 dan RM27.80.

Dalam kalangan saham aktif, Velesto merosot setengah sen kepada 15.5 sen manakala Ta Win, Capital A dan Aimflex, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, RM1.00 dan 16 sen. Sime Darby Property meningkat enam sen kepada RM1.49.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 48.82 mata kepada 12,083.52, Indeks FBM Emas menambah 8.54 mata kepada 12,139.67 dan Indeks FBMT 100 meningkat 5.38 mata kepada 11,829.17.

Indeks FBM 70 merosot 1.91 mata kepada 17,857.91 dan Indeks FBM ACE berkurangan 21.08 mata kepada 5,110.57.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 2.53 mata kepada 172.82, Indeks Perladangan melonjak 130.30 mata kepada 7,662.12 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 87.54 mata kepada 19,102.48. Indeks Tenaga berkurangan 5.49 mata kepada 806.80.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy