KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak dalam julat kecil pada minggu depan iaitu dalam lingkungan harga semasanya, kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes.
Beliau berkata kepada Bernama, dagangan pasaran emas telah stabil berikutan dorongan daripada jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 2025 selain ketegangan geopolitik yang telah berkurangan.
“Saya tetap yakin emas akan terus mendapat permintaan kerana pelabur terus melihatnya sebagai lindung nilai yang boleh dipercayai terhadap ketidaktentuan perdagangan.
"Sementara itu, sebarang ketegangan perdagangan yang meningkat secara mendadak boleh membangkitkan semula minat terhadap emas sebagai tempat selamat," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan emas menunjukkan aliran bercampur-campur serta turun naik turut mencerminkan momentum Bursa Komoditi New York (COMEX) AS, selain permintaan yang lemah.
Ada kalanya, seperti pada Jumaat, ia berakhir mendatar dengan penganalisis mengaitkan prestasi hambar serta penurunan dagangan pada waktu cuti Kesyukuran yang panjang.
Dari Jumaat-ke-Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 mengakhiri minggu ini lebih rendah kepada US$2,646.40 setiap auns troy daripada AS$2,698.70 setiap troy auns minggu lepas.
Sementara kontrak Disember 2024, Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 juga ditutup lebih rendah iaitu kepada US$2,659.30 setiap auns troy daripada US$2,712.10 setiap auns troy pada minggu lepas.
Jumlah dagangan berkembang kepada 127 lot daripada 39 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 22 kontrak daripada 28 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 28 Nov, 2024, harga emas fizikal berada pada US$2,641.85 setiap auns troy.
-- BERNAMA