TAWAU, 2 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa empat tertuduh kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, telah memukul mangsa lebih daripada sekali.
Saksi pendakwaan ke-10 yang juga rakan mangsa itu berkata perbuatan tersebut, dilakukan tertuduh pertama, ketiga, keempat serta kelima di bilik asrama 7 Resak kolej berkenaan.
Beliau memberitahu pada ketika itu pandangannya tidak terhalang daripada sebarang objek, untuk menyaksikan kejadian berkenaan kerana sedang berehat di tempat tinggi.
“Saya di atas katil paling atas, katil bertingkat,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri pada perbicaraan kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi, 22 Mac.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain Batrisyia, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif serta Ng Juhn Tao.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang, dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan bersambung pada sebelah petang.
-- BERNAMA