AM

Komuniti Tanpa Tunai, Negeri Sembilan Komited Ke Arah Sistem Pendigitalan

02/12/2024 07:13 PM

SEREMBAN, 2 Dis ( Bernama) -- Seiring dengan visi kerajaan negeri untuk memacu ke arah pendigitalan menyeluruh, penduduk di Seremban, khususnya peniaga didedahkan dengan penggunaan pembayaran tunai melalui Program Perintis Masyarakat Tanpa Tunai atau Cashless Society.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Razali berkata inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan MBS itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna dan membina keyakinan terhadap penggunaannya.

Beliau berkata program berkenaan menumpukan kepada sektor peruncitan dan perniagaan melalui dua pendekatan iaitu intervensi polisi dan premis digital sekali gus memberi impak positif dalam melancarkan urusan perniagaan peniaga tempatan di sini.

"Bagi intervensi polisi, MCMC dengan kerjasama kerajaan negeri memperkenalkan syarat bagi permohonan lesen perniagaan atau pembaharuan lesen perniagaan iaitu peniaga digalakkan mempunyai opsyen pembayaran tanpa tunai seperti e-dompet, kod QR DuitNow, kad kredit, kad debit dan perbankan mudah alih. 

"Peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dilihat sebagai usaha penting bagi memacu pendigitalan di negeri ini secara lebih menyeluruh," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Cashless Pilot Peringkat Negeri Sembilan 2024 di Pasar Ampangan Seremban baru-baru ini yang turut dihadiri Pengarah MCMC negeri Md Tahir Musa dan Pengarah Kanan Masyarakat dan Keterangkuman Masa Depan MCMC Jafizwaty Ishahak.

Mengulas mengenai program bersama peniaga di Pasar Baru Ampangan, beliau berkata usaha ini sangat penting kerana  dapat memperkasakan ekonomi komuniti setempat terutama kepada pemain industri sektor peruncitan.

Karnival Tanpa Tunai daerah Seremban yang bermula sejak 27 Julai hingga 3 Ogos lepas sempena Karnival NS Fest di Dataran Nilai telah mendapat sambutan sangat baik dengan kehadiran ribuan pengunjung ke reruai MCMC dengan seramai 276 peniaga berjaya didaftarkan atas premis digital.

Peniaga barang runcit Munira Mohd Raihan,36, berkata pengunaan QR Code sangat membantunya menjalankan perniagaan dengan tidak memegang wang tunai yang banyak berikutan semua urusan jual beli dijalankan secara tanpa tunai.

Turut sependapat ialah peniaga santan Hanafi Abdullah, 24, yang berpandangan pembayaran dengan imbas kod QR dapat mengurangkan risiko kena samun atau duit hilang di kedai.

"Bukan kita tidak percaya dengan pekerja kita, cuma kita perlu berhati-hati ... apabila menggunakan cashless (tanpa tunai), langkah itu dapat mengurangkan risiko kena tipu atau duit hilang," katanya.

Sementara itu, pengunjung Pasar Baru Ampangan A.Archana, 32, ketika ditemui Bernama berkata dia lebih selesa menggunakan imbas kod QR  berbanding pembayaran tunai kerana lebih mudah dan pantas.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy