JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Anggota Palapes UiTM Meninggal Dunia: Polis Rakam Keterangan 34 Individu Setakat Ini

02/12/2024 06:23 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 34 individu bagi membantu siasatan kes kematian pelajar anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ia termasuk sembilan individu terbaharu yang diambil keterangan dengan mereka yang terlibat, meliputi pegawai jurulatih, pegawai perubatan, pelajar serta pengadu dalam kes tersebut.

Beliau berkata beberapa lagi individu akan dipanggil bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada koroner untuk inkues dan arahan lanjut.

“Sehingga itu kita minta supaya semua pihak berhenti menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Pada 10 Nov lepas seorang pelajar UiTM berumur 25 tahun dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan, dan tiga hari kemudiannya dia dilaporkan meninggal dunia.

Sementara itu merujuk kepada majlis pelupusan hari ini Mohd  Iqbal berkata 730 buah mesin bitcoin, 150,000 botol arak, 100,000 tin arak, 500,000 batang rokok, 3,790 banner dan 6,251 VCD dilupuskan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM750,000.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy