Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 2 Dis Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila pelabur mengalihkan minat kepada mata wang selamat termasuk dolar AS, kata penganalisis.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4570/4625 berbanding dolar AS daripada 4.4425/4495 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar AS memulakan minggu ini dengan kenaikan, berbanding beberapa penurunan yang dialami bulan lepas.
“Peningkatan semula ini didorong oleh kenyataan Presiden AS Donald Trump yang pada hujung minggu lepas mengeluarkan amaran keras iaitu mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus kepada kalangan negara BRICS jika beralih daripada dolar AS.
“Pendirian tegas itu meluas, secara impak, kepada negara yang banyak terlibat dengan China dalam perdagangan serta yang mengekalkan lebihan dagangan dengan AS, menyebabkan ringgit mengalami prestasi lebih lemah sepanjang hari ini,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit rendah hari ini, mungkin disebabkan kenyataan tegas Trump mengenai langkah berkaitan tarif import.
“Komen sedemikian ditujukan kepada anggota BRICS terutama berkaitan dolar AS, kerana sebarang langkah untuk beralih daripada mata wang itu akan berdepan dengan tarif AS yang tinggi.
“Sebenarnya, Trump (sebagai Presiden AS) masih lagi belum secara rasmi dan itu hanyalah pandangan beliau terhadap keadaan ekonomi yang sedang berkembang,” katanya.
Beliau berkata walaupun Trump pasti akan bersikap lebih tegas apabila melibatkan China dan pihak berkaitan namun, Presiden AS itu juga perlu mengambil berat mengenai akibat ke atas ekonomi domestik.
“Ini terutama apabila tarif yang lebih tinggi mungkin membawa kepada inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding dengan beberapa mata wang utama.
Uni tempatan rendah berbanding dengan pound British kepada 5.6613/6683 daripada 5.6384/6473 ketika ditutup pada Jumaat, dan naik berbanding euro kepada 4.6856/6914 daripada 4.6899/6973.
Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9648/9687 daripada 2.9589/9638 pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3113/3156 berbanding 3.3146/3200 ketika ditutup Jumaat minggu lepas, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 280.1/280.6 daripada 280.2/280.8.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9196/9423 daripada 12.9459/9738, dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.61 daripada 7.58/7.59.
-- BERNAMA