AM

PNB Salur RM4 Juta Untuk Sumbangan Banjir, Bantu Golongan Terjejas

02/12/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan komitmennya untuk menyokong inisiatif bantuan banjir berjumlah RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi bagi menyalurkan usaha bantuan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata sumbangan itu akan digunakan untuk memberi bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang kepada komuniti yang terjejas akibat banjir di kawasan-kawasan banjir di sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok, Tumpat) dan Terengganu (Besut, Dungun, Hulu Terengganu),

PNB juga berkata sumbangan itu turut digunakan untuk membantu kawasan yang terjejas banjir di Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.

“Sumbangan itu disalurkan menerusi agensi-agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA).

“Ia akan menumpukan kepada agihan makanan seperti makanan yang sedia dimakan dan barang-barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar dan kit kebersihan diri,” katanya.

Peruntukan juga akan diberi kepada inisiatif pemulihan seperti bekalan barangan keperluan kembali ke sekolah dan barangan keperluan asas keluarga, membaiki rumah dan memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta meningkatkan inisiatif Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) selepas bencana, kata PNB.

Sementara itu, sebanyak RM900,000 daripada jumlah peruntukan tersebut telah disalurkan sebelum ini dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar yang terjejas, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti, katanya.

“Selain menjangkakan cabaran-cabaran yang bakal timbul akibat banjir akhir tahun ini, PNB akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kami bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy