AM

Pahang Jamin Bekalan Ikan Mencukupi Sepanjang MTL

03/12/2024 01:15 PM

KUANTAN, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang memberi jaminan bekalan ikan mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Beliau berkata jaminan itu berdasarkan data pendaratan ikan di negeri ini pada 2023 yang berjumlah 136,853 tan metrik, merangkumi hasil tangkapan laut, sungai dan sektor akuakultur dengan nilai RM1.32 bilion yang merupakan tertinggi di Pantai Timur.

“Jumlah itu meningkat sebanyak enam peratus dari segi kuantiti dan 15 peratus dari sudut nilai berbanding 2022 yang mencatatkan 129,522 tan metrik ikan bernilai RM1.15 bilion, dan mengekalkan status Pahang sebagai peneraju sektor perikanan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin mengetahui status bekalan ikan di Pahang pada masa ini berikutan musim MTL yang sudah bermula sejak awal November lepas.

Mohd Soffi berkata jumlah yang direkodkan pada tahun lepas menunjukkan Pahang mencatatkan lebihan pengeluaran ikan sehingga boleh dipasarkan ke luar daripada negeri itu, membabitkan kira-kira 5,071.92 tan metrik sebulan. 

“Pendaratan tangkapan laut bagi 2023 (menyumbang) RM910 juta, akuakultur RM354 juta dan perikanan darat RM53.5 juta,” katanya.

Menyentuh mengenai tindakan kerajaan dalam membantu penternak ikan dalam sangkar di Sungai Pahang khususnya yang terkesan banjir, Mohd Soffi berkata beberapa tindakan segera telah diambil menerusi Jabatan Perikanan negeri. 

Beliau berkata antaranya membuat hebahan awal sejak Oktober supaya penternak lebih bersedia menghadapi MTL, dengan meminta mereka memeriksa serta mengikat sangkar dengan kukuh selain merancang dan menjual ikan yang sesuai dengan saiz pasaran sebelum musim tengkujuh.

“Mereka juga dimaklumkan supaya melaporkan kepada Pejabat Perikanan Daerah masing-masing jika terkesan dengan bencana mengikut prosedur seperti laporan polis dan sebagainya, agar bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat disalurkan,” katanya.

Mengikut rekod, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan telah membantu pengusaha akuakultur yang terkesan dengan nilai bantuan RM307,425 kepada 45 penternak pada 2020, RM463,000 kepada 179 penternak (2021), RM1.95 juta kepada 275 penternak (2022) dan RM192,470 kepada 42 penternak pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy