LIPIS, 3 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) kepada 15 penerima di Lipis.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rumah yang dibina selepas ini dibangunkan secara bertiang ‘ibarat rumah Melayu lama’, khususnya bagi kawasan berhampiran sungai dan langkah berkenaan antara lain dapat menyelamatkan harta benda penduduk ketika musim banjir yang melanda negeri ini saban tahun.
“Kita mahu kurangkan beban mangsa banjir, tak mahu buat rumah tetapi terjejas akibat banjir yang merugikan penduduk … kalau rumah atas bukit tanpa bertiang tak kena banjir tak apa … perkara ini boleh dikaji dan diusahakan untuk ditambah baik," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci yang diadakan di Kampung Tanjung Gahai di sini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Pahang dan anak sungai supaya bersedia menghadapi banjir dan peka dengan perubahan cuaca.
Baginda menyeru masyarakat Islam agar terus berdoa dan melakukan solat hajat supaya cuaca bertambah baik dan mendoakan rakyat selamat daripada sebarang musibah.
Sebanyak 15 unit Ru'RASA berkeluasan 750 kaki persegi setiap satu dibangunkan dalam fasa kedua di daerah ini bermula 15 Julai lepas dan siap pada 4 Nov.
Reka bentuk rumah Ru'RASA jenis bertanah dan bertiang berkenaan disediakan Jabatan Kerja Raya yang dilengkapi ruang tamu, ruang makan dan dapur selain tiga bilik tidur serta dua bilik air.
Sementara itu, Wan Rosdy menzahirkan penghargaan terhadap Sultan Pahang yang berkenan mengurniakan kunci rumah berkenaan kepada penduduk Lipis sekali gus menterjemahkan sikap baginda yang prihatin terhadap rakyat.
Beliau ketika berucap berkata pengurnian rumah itu adalah cetusan idea serta tanda kasih baginda membantu rakyat memiliki rumah yang selamat dan selesa untuk didiami.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berkenan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Bersama Penduduk Kampung Tanjung Gahai di Dataran Santuari dan meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat.
-- BERNAMA