BATU PAHAT, 3 Dis (Bernama) -- Sebuah kapal kargo Malaysia Star dilapor terbakar pada kedudukan kira-kira 9.1 batu nautika dari Tanjung Laboh di sini semalam dan 19 krunya terselamat.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada 'Maritime Rescue Sub Centre' (MRSC) kira-kira 8.40 pagi.
Susulan itu, dua bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sebuah bot Pasukan Polis Marin digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat serta kawalan keselamatan.
"Kapal terbabit dilaporkan sedang menuju ke Kota Kinabalu, Sabah dengan membawa 19 kru iaitu seorang rakyat tempatan dan 18 warga Filipina.
"Bagaimanapun, kesemua mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke bot peronda APMM sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Zaini berkata kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan memandangkan tangki minyak berada di bawah kawasan yang terbakar.
"Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan dan kita akan membuat pemantauan secara berterusan.
"Pada masa sama, kita ingin menasihati komuniti maritim agar sentiasa peka mengenai keselamatan dan bersiap sedia dengan sebarang insiden tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda," katanya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4349343 dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
-- BERNAMA