AM

KKR Siap Siaga Hadapi Gelombang Kedua Banjir - Ahmad Maslan

03/12/2024 09:02 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) tetap bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir meskipun situasi bencana itu di beberapa negeri menunjukkan trend penurunan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pasukan Gerak Kerja bencana negeri telah diarah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan jaringan perhubungan jalan raya tidak terjejas susulan banjir.

Beliau berkata pasukan itu ditubuh di negeri terjejas supaya beroperasi 24 jam sehari dan usaha pemantauan diperkasa bagi memastikan jambatan, bangunan, cerun serta jalan perhubungan selamat digunakan.

“Semalam, saya mengadakan lawatan ke Jalan Raya Timur Barat bagi melihat runtuhan tanah dan cerun yang berlaku di jajahan Jeli, Kelantan berhampiran Kampung Lakota yang hampir terputus. 

“Pasukan petugas khas bencana telah bertindak pantas dengan menilai, mengkaji dan memohon peruntukan RM600,000 bagi kos memasang penahan tanah. Jika tidak, mungkin jalan yang menghubungkan Kelantan dan Perak terputus,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke JKR Negeri Perak hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Pasukan Gerak Kerja Negeri Perak diketuai Pengarah JKR negeri Ir Zamri Mat Kasim dan dibantu seorang timbalan pengarah. 

“Pasukan ini turut disertai 11 ketua bahagian JKR Perak, seorang ketua jurutera elektrik negeri dan seorang ketua jurutera mekanikal negeri.

“Turut menganggotai pasukan itu 12 jurutera daerah, seorang ketua unit tentera negeri dan seorang ketua unit pangkalan tentera laut,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi projek yang diselia oleh JKR Perak sepanjang tahun ini dengan nilai keseluruhan RM5.94 bilion.

“Setakat November 2024, terdapat 157 keseluruhan projek meliputi bangunan iaitu 116 projek manakala 41 projek jalan sama ada projek Persekutuan atau kerajaan negeri dan hanya dua projek lewat siap seperti dijadualkan. 

“Walaupun terdapat dua projek lewat siap, ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan 157 projek dan saya minta agar setiap projek dapat disiapkan awal sebulan atau dua bulan namun dengan gerak kerja serta kualiti yang baik,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy