DUNIA

Korea Selatan: Rakyat Malaysia Dinasihat Ambil Langkah Keselamatan, Daftar Melalui E-Konsular

04/12/2024 10:17 AM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Korea Selatan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, menurut Kementerian Luar Negeri.  

Kementerian dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan situasi di Korea Selatan kembali normal selepas undang-undang tentera ditarik balik di seluruh negara.  

"Bagi memastikan maklumat terkini dan bantuan tepat pada masanya, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mendaftar melalui E-Konsular," menurut kenyataan itu.  

Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Seoul boleh dihubungi di alamat 129, Dokseodang-ro Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, atau melalui talian +82-2-2077 8600 atau +82-2-794 5488, atau menerusi e-mel mwseoul@kln.gov.my.  

Kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti, menurut kenyataan itu.  

Terdahulu, Agensi Berita Yonhap melaporkan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengumumkan penamatan undang-undang tentera awal pagi Rabu, selepas Dewan Negara meluluskan usul bagi menuntut penamatannya.

Kabinet meluluskan usul terbabit pada 4.30 pagi (waktu tempatan), kira-kira enam jam selepas Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera itu dengan alasan pihak pembangkang "melumpuhkan" kerajaan melalui aktiviti anti-negara.

Keputusan itu menimbulkan kebimbangan di dalam dan luar negara.  

Ketua Turus Bersama mengesahkan bahawa pasukan yang dikerahkan untuk melaksanakan undang-undang tentera telah kembali ke pangkalan masing-masing, memulihkan keadaan seperti sediakala.  

-- BERNAMA  

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy