PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Australia mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai sektor melalui Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Negeri Malaysia - Australia kali keenam.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan dan rakan sejawatannya dari Australia, Penny Wong pada Rabu.
Mesyuarat itu turut menilai status kemajuan kerjasama dua hala dalam sektor seperti perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga, mineral, keselamatan siber, ekonomi digital, pendidikan, pertahanan dan hubungan antara rakyat.
“Mesyuarat ini juga merupakan susulan kepada Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia kali kedua antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Anthony Albanese di Melbourne pada Mac lalu,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua menteri turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar, Timur Tengah dan konflik Ukraine-Rusia.
Dalam mesyuarat itu, Penny Wong turut menyatakan sokongan Australia terhadap Kepengerusian ASEAN 2025 yang akan diterajui Malaysia.
Sebagai rakan dialog pertama ASEAN, Australia terus melaksanakan pelbagai kerjasama di bawah tiga tonggak Komuniti ASEAN, menurut kenyataan itu.
Sebelum mesyuarat itu, Wong mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar, di mana kedua-dua pihak menilai kemajuan kerjasama yang dipersetujui semasa lawatan Perdana Menteri ke Australia.
Anwar turut menzahirkan undangan kepada Anthony Albanese menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Malaysia pada 2025.
Penny Wong juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai kerjasama dalam industri mineral.
“Secara keseluruhan, lawatan ini mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang telah wujud di bawah Perkongsian Komprehensif Strategik (CSP) yang ditubuhkan pada h2021, melalui perkongsian ekonomi yang teguh dan kesalinghubungan antara rakyat yang berterusan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan menyebut bahawa kedua-dua menteri mengambil maklum kemajuan signifikan dalam pelaksanaan CSP sejak dimeterai pada 2021, sambil mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam tiga tonggak - Kemakmuran Ekonomi, Masyarakat dan Teknologi, serta Pertahanan dan Keselamatan Serantau.
Dalam aspek ekonomi, para menteri mengulangi komitmen mereka dalam mengutamakan usaha untuk menjana dan memodenkan perkongsian Australia-Malaysia, memastikan ekonomi kedua-dua negara maju secara digital, selamat dan berdaya tahan.
Mereka juga menyuarakan minat untuk meneroka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor utama seperti ekonomi hijau, agromakanan, tenaga, teknologi digital, petrokimia dan bahan kimia, elektrik dan elektronik, serta mineral.
Kedua-dua menteri turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan maritim dan siber, serta menangani isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional termasuk keganasan, ekstremisme, dan jenayah rentas negara.
Mengenai kerjasama serantau dan global, kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk mempromosikan rantau yang aman, stabil, dan makmur yang menghormati kedaulatan dan undang-undang antarabangsa, termasuk pelaksanaan agenda wanita, keamanan dan keselamatan (WPS).
Kenyataan bersama itu turut menyeru kepentingan hubungan stabil antara China dan Amerika Syarikat serta menggesa semua negara bertindak bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
Menteri-menteri itu turut mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan permusuhan di Lubnan, dengan harapan ia menjadi pemangkin untuk menamatkan perang di Gaza.
Kedua-dua menteri turut menyatakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang kritikal di Gaza dan menggesa penyelesaian politik bagi mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan sebelum 1967.
-- BERNAMA