AM

305 Nelayan Matu/daro Terima Elaun Sara Hidup Lebih RM928,000

04/12/2024 03:30 PM

MUKAH, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 305 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matu/Daro menerima bantuan Elaun Sara Hidup (ESH) berjumlah RM928,800 tahun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata ESH bertujuan membantu golongan nelayan meringankan bebanan menghadapi tekanan ekonomi yang disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini ialah sebahagian daripada usaha LKIM untuk meningkatkan kesejahteraan nelayan dan keluarga mereka selain pemerkasaan komuniti nelayan melalui pembangunan sosioekonomi dan sokongan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika cek elaun berkenaan dan merasmikan pejabat PNK Matu/Daro yang dibina dengan kos RM795,300 di sini hari ini, bersempena dengan lawatan tiga hari beliau ke Sarawak bermula semalam.

Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan titik sentuh berupa kotak insulasi, pukat dan jaket keselamatan kepada 70 penerima selain menyerahkan bantuan bernilai RM75,000 di bawah Program Baik Pulih Rumah Nelayan B40 dan sumbangan beras kepada nelayan setempat.

Selain itu, beliau mengadakan lawatan ke Penempatan Semula Nelayan (PSN) Semop untuk meninjau perkembangan projek itu yang merupakan inisiatif penting LKIM dalam menyediakan kediaman lebih selesa dan teratur bagi golongan nelayan.

Pada hari pertama lawatan beliau, Muhammad Faiz merasmikan Stesen Sistem Kontena Mudah Alih PNK Sebuyau yang menyediakan akses mudah diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, menyerahkan bantuan ESH berjumlah RM30,000, bantuan titik sentuh bot dan pukat serta sumbangan beras kepada nelayan sebelum melawat Kompleks Perikanan LKIM Beladin.

Esok, beliau akan meneruskan lawatan ke Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Manis (PPLTM) bagi menghadiri sesi libat urus bersama pemain industri perikanan selain menziarahi penduduk Rumah Panjang Semalau untuk menyampaikan bantuan bakul makanan kepada empat keluarga.

Bantuan tabung bencana bernilai RM1,500 untuk kematian dan RM13,000 untuk kebakaran bot selain sumbangan beras kepada keluarga yang memerlukan juga akan disampaikan dalam program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy