SUKAN

Ketua Jurulatih Skuasy Kenal Pasti Bakat Baharu Untuk Sukan SEA 2025

04/12/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih skuasy negara Andrew Cross sudah mengenal pasti barisan atlet muda yang berbakat untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Walaupun belum memuktamadkan nama-nama atlet berkenaan, beliau membayangkan bahawa pemain-pemain berkenaan adalah mereka yang mewakili negara pada Kejohanan Remaja Dunia baru-baru ini.

“SUKAN SEA kali ini mungkin akan disertai kumpulan pemain yang lebih muda, kerana beberapa acara adalah di bawah 21 tahun, jadi kami perlu bersedia untuk menghadapinya.

“Mungkin kami akan melihat kepada beberapa pemain muda seperti C Ameeshenraj, Joachim Chuah, Harith Danial Jafri dan Low Wa Sern (lelaki), manakala kategori wanita seperti K Sehveetrraa dan Whitney Isabelle,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini.

Skuasy akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2025, dengan empat pingat emas menjadi rebutan masing-masing satu dalam kategori individu dan beregu lelaki serta wanita.

Kali terakhir skuasy disenaraikan pada Sukan SEA adalah pada edisi 2019 di Manila, Filipina, dengan Malaysia memenangi tiga daripada empat pingat emas yang dipertandingkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mohamad Azlan Iskandar ketika ditanya mengenai mesyuarat hari ini berkata pelbagai perkara dibangkitkan termasuklah peruntukan bagi sukan berkenaan.

Beliau berkata MSN telah bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan bagi tujuan pembangunan bakat.

“Kita berterima kasih kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana mengiktiraf atlet skuasy sejak 20 tahun lepas. Bagi tahun 2025, kita ada perbelanjaan tambahan untuk program pembangunan kita (skuasy),” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy