AM

Perkenal Skim Takaful Bantu Pekebun Terkesan Bencana

04/12/2024 04:31 PM

KUANTAN, 4 Dis (Bernama) -- Pekebun kecil dan sederhana yang kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman susulan bencana alam boleh dibantu dengan perlindungan skim takaful. 

Ho Chi Yang (DAP-Tanah Rata) berkata inisiatif itu wajar diperkenalkan bagi mengurangkan beban golongan pekebun berkenaan sekiranya tidak mempunyai modal mencukupi untuk kembali menjalankan aktiviti menanam selepas bencana. 

Sebagai contoh, beliau berkata Agrobank baru melancarkan Takaful Tanaman Padi iaitu skim yang disesuaikan secara khas membantu petani yang mengalami kerosakan atau kerugian pada tanaman padi akibat bencana alam, perosak, dan penyakit. 

"Inisiatif ini merupakan langkah yang sangat penting dan strategik kerana mampu mengurangkan risiko kerugian yang tidak dapat dijangka serta meringankan beban pekebun. Maka, saya cadangkan agar skim takaful sedemikian boleh dilancarkan dan melibatkan ramai pekebun termasuk di Cameron Highlands.

"Ia bertujuan untuk mempertingkatkan perlindungan terutamanya bagi mengurangkan kerugian besar akibat bencana dan membolehkan pekebun terus melabur dalam meningkatkan produktiviti," katanya ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

Selain itu, Ho juga mencadangkan sebahagian kecil kutipan sewa oleh Pahang Corporation perlu dikekalkan untuk menjadi tabung bencana pertanian Cameron Highlands demi membantu mengurangkan beban pekebun.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy