AM

Banjir: Kerosakan Premis, Peralatan PDRM Di Kelantan Dianggar RM1.55 Juta

04/12/2024 08:13 PM

PASIR MAS, 4 Dis (Bernama) -- Kerosakan akibat banjir membabitkan bangunan, kenderaan serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dianggar bernilai RM1.55 juta, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata laporan awal kerugian itu telah dihantar kepada Bukit Aman oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

“Jangkaan tepat nanti (nilai kerosakan) tentulah kita akan lihat setelah tidak ada lagi banjir, namun ketika ini jumlah ini adalah berdasarkan laporan Ketua Polis Kelantan.

“Kerosakan bangunan antaranya membabitkan 10 balai dan empat pondok polis yang dinaiki air,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir Kelantan di Pondok Polis Repek di sini hari ini. 

Balai polis terjejas ialah Rantau Panjang, Jeram Perdah, Bakong, Kuala Jambu, Ketereh, Lubok Setol, Simpangan, Tok Uban, Meranti dan Bukit Yong manakala pondok polis terdiri daripada Pohon Tanjung, Salor, Alor Pasir dan Gelang Mas. 

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang ketika ini sudah beroperasi seperti biasa selepas sedikit terjejas akibat banjir beberapa hari lepas. 

Bagi persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya di Kelantan, beliau berkata kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain berada pada tahap terbaik serta akan terus ditingkatkan. 

“Kita akan menggunakan pengalaman termasuk ketika menghadapi situasi banjir baru-baru ini dan akan dapatkan laporan daripada Jabatan Meteorologi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa kerana boleh mengganggu urusan menyelamat mangsa banjir dan penggunaan aset kepada tempat yang tidak sepatutnya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy