JENAYAH & MAHKAMAH

EJEN SINDIKET SELUDUP MIGRAN DITAHAN CUBA SOGOK POLIS RM50,000

09/12/2024 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Gara-gara mahu melepaskan diri dan tiga rakan yang dicekup kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin, seorang lelaki sanggup mencuba nasib dengan menawarkan sogokan RM50,000 kepada pegawai polis.

Tindakan ejen sindiket penyeludupan migran berusia 24 tahun itu mengundang padah apabila tawarannya itu ditolak pegawai polis yang bertugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kota Bharu, Kelantan Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata menerusi operasi itu, pihaknya telah menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 32 tahun yang disyaki berperanan sebagai tekong selepas mengesan tiga kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Ativa dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu kira-kira 6.30 pagi.

Beliau berkata seramai 16 pendatang tanpa izin warga Myanmar terdiri daripada 11 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak turut ditahan dalam operasi berkenaan.

“Hasil soal siasat terhadap tiga lelaki terbabit membawa kepada penahanan ejen sindiket itu berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Ketika dalam perjalanan ke balai, lelaki berkenaan merayu untuk dibebaskan bersama tiga tekong warga tempatan dan cuba menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada pegawai operasi, namun telah diberi amaran agar tidak berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata lelaki terbabit cuba menyerahkan wang sekali lagi sebelum ditahan untuk tindakan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan pihaknya turut merampas telefon bimbit, menyita kenderaan dan wang tunai RM50,000 dalam operasi itu.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy