JENAYAH & MAHKAMAH

NAJIB NAFI DAKWAAN USAHA SAMA 1MDB ADALAH UNTUK KEPENTINGAN UMNO

10/12/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan usaha sama projeknya diwujudkan untuk kepentingan peribadinya atau untuk mengukuhkan UMNO, parti yang pernah dipimpinnya semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Najib berkata beliau amat tidak bersetuju dengan dakwaan yang dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, dalam perbicaraan ini yang menyatakan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (atau ebih dikenali sebagai Jho Low), adalah individu yang akan "mengatur dan memanipulasi" semua pelaburan 1MDB, usaha sama dan pengumpulan dana di luar negara.

Dalam keterangannya pada 14 Sept 2020, Mohd Hazem, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10, turut berkata bahawa Jho Low secara terang-terangan memberitahunya bahawa dana yang berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat tersebut adalah untuk Najib dan UMNO.

Bekas perdana menteri itu berkata kelulusan yang diberikan kepada 1MDB adalah berdasarkan cadangan yang dibuat selepas perbincangan teliti di peringkat lembaga pengarah berkenaan cadangan yang dibawa kepada mereka oleh entiti yang sah seperti Aabar Investments PJS dan IPIC, atas nasihat penasihat berkaliber seperti Goldman Sachs, Lazard, BSI Bank dan kumpulan Baker & McKenzie.

"Masalah dengan 1MDB adalah kegagalan sistematik dalam pelaksanaan keputusan di peringkat pengurusan yang bermula sejak zaman pengurusan oleh bekas CEO Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sehingga ke Mohd Hazem," katanya.

"Saya teringat keterangan beliau (Mohd Hazem) di mahkamah apabila beliau mengakui telah ditempatkan dalam pengurusan untuk melaksanakan arahan Jho Low, malah beliau mengakui secara khusus bahawa berhubung dengan pengumpulan US$3 bilion untuk 1MDB Global Investment Limited, beliau ditempatkan di situ sebagai pengarah hanya untuk menandatangani setiap dokumen yang diletakkan di hadapannya atas arahan Jho Low, serta proksi-proksinya, Jasmine Loo (bekas peguam besar 1MDB) dan Terrence Geh (bekas timbalan ketua pegawai kewangan 1MDB)," kata Najib.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu membaca kenyataan saksi beliau pada hari kelapan memberi keterangan untuk membela dirinya terhadap empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, bersama-sama dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Najib berkata beliau tidak percaya bahawa dakwaan yang dibuat oleh Mohd Hazem boleh diberi sebarang kredibiliti, memandangkan beliau telah mengakui bahawa beliau terpaksa mengikuti arahan Jho Low dan proksi-proksinya.

"Secara khusus, apabila beliau mengakui bertindak menentang Perjanjian Usahasama dan selama berbulan-bulan menyimpan kiriman wang yang sama ke dalam tiga dana fidusiari yang tidak dibenarkan tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah 1MDB serta memimpin untuk mempercayai bahawa dana tersebut disimpan dengan selamat di Bank UBS.

“Saya mengesyaki kenyataan ini hanya direka kemudian untuk menyelamatkan sedikit kredibiliti yang masih ada pada Mohd Hazem, memandangkan pengakuannya terhadap pemalsuan, beberapa tindakan pecah amanah jenayah, dan pelanggaran tugas fidusiari sebagai pengarah,” kata Najib.

Najib juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh Mohd Hazem bahawa beliau bertindak atas arahan Setiausaha Sulit Utama Najib, iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias.

"Saya rasa kenyataan itu sangat keji dan merupakan satu helah untuk mengecilkan penglibatannya serta peranannya dalam rancangan Jho Low.

"Bagaimanapun, Allahyarham Azlin tidak lagi bersama kita untuk mempertahankan dirinya, tetapi itu tidak mengubah fakta bahawa dia (Mohd Hazem) masih mempunyai tanggungjawab terhadap syarikat dan tindakannya menjadikannya rakan sejenayah kepada Jho Low," katanya.

Pada 30 Okt, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri terhadap semua 25 tuduhan, dengan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.

Perbicaraan bersambung.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy