JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH BENAR MUHYIDDIN DAPAT PASPORT SEMENTARA KE UNITED KINGDOM

10/12/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau mendapatkan nasihat perubatan berhubung penyakit kanser pankreasnya serta melawat cucu di United Kingdom (UK). 

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini hingga 14 Jan depan.

"Mahkamah telah mendengar serta meneliti segala hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah berpuas hati dan memutuskan bahawa permohonan pihak pemohon adalah dibenarkan dan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 14 Jan 2025 sepertimana dalam permohonan. 

"Mahkamah berpendapat pemohon berhak mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik bagi dirinya dan tiada juga bukti pemohon akan melarikan diri," kata Hakim Azura.

Terdahulu, Hisyam berkata anak guamnya memohon mendapatkan pasport antarabangsa untuk melakukan perjalanan ke UK bagi bertemu dengan Prof Brian Davidson yang mempunyai latar belakang sebagai pakar bedah dalam bidang pembedahan hati, saluran hempedu dan pankreas, serta dalam pengurusan kanser.

"Anak guam saya (Muhyiddin) percaya bahawa doktor itu mampu memberikan pandangan berhubung keadaannya. Oleh itu, anak guam saya telah membuat janji temu bersama Prof Brian Davidson bagi mendapatkan nasihat serta pendapat doktor berhubung kesihatannya.

"Anak guam saya dijangka bertemu dengan Prof Brian pada 6.30 petang, 18 Dis ini di Platinum Medical Centre di London. Pertemuan ini perlu bagi anak guam saya mendapatkan nasihat rawatan yang diperlukan dalam tempoh tersebut," kata Hisyam.

Menurut peguam itu, baru-baru ini Muhyiddin telah menjalani Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) untuk memantau keadaan kanser pankreasnya dan dimaklumkan bahawa bacaan penanda tumor CA 19-9 Muhyiddin telah menunjukkan sedikit peningkatan melebihi paras normal.

"Walaupun masih dalam keadaan peredaan, peningkatan bacaan penanda tumor CA 19-9 beliau sedikit sebanyak mendatangkan kekhuatiran terhadapnya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pandangan kedua berkaitan rawatan kanser tersebut kerana di Malaysia juga mempunyai pakar, perunding dan juga fasiliti yang mencukupi untuk pemohon mendapatkan rawatan.

"Bagi alasan permohonan kedua pemohon (Muhyiddin) untuk melawat keluarga dan anak-anaknya di UK, ini bukan alasan yang mendesak tetapi lebih bersifat peribadi," kata Mahadi yang mengendalikan kes bersama TPR Noralis Mat dan Zander Lim Wai Keong.

Sementara itu, Hakim Azura turut menetapkan 16 Jan depan untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.

Pada 11 Sept, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy