AM

JELAJAH HAWANA 2024 BERSAMA SISWA LABUH TIRAI DI ZON TIMUR

12/12/2024 10:15 AM

KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa akan melabuhkan tirainya hari ini, dengan penganjurannya di Zon Timur melibatkan penyertaan lebih 250 pelajar dan pensyarah daripada tiga universiti hari ini.

Diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), program melibatkan pelajar dan pensyarah daripada UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu, akan disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Pada siri jelajah yang terakhir bagi 2024 itu akan turut menyaksikan UniSZA, UMT dan UMK, masing-masing menerima sumbangan berupa satu set komputer berkeupayaan tinggi dan satu set televisyen pintar.

Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa itu akan turut dimeriahkan dengan sesi dialog Fahmi bersama pelajar.

Selain itu siri program tersebut turut diisi dengan tiga bengkel interaktif yang relevan dengan dunia digital masa kini buat pelajar, iaitu sesi Mobile Journalism oleh wartawan Bernama, sesi Semakan Fakta oleh editor Bernama dan ceramah ‘Klik Dengan Bijak’ oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Program Jelajah HAWANA 2024, julung kali diadakan sempena sambutan HAWANA 2024 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy