EKONOMI

PULANGAN DANA PMB INVESTMENT DIUNJUR 7-15 PERATUS PADA 2025 - KKDW

12/12/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengunjurkan PMB Investment Bhd (PMB Investment) mencatatkan pulangan dana sebanyak tujuh hingga 15 peratus pada 2025.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata bagaimanapun unjuran tersebut bergantung kepada prestasi pasaran saham dan bon tempatan serta global.

“PMB Investment menguruskan 19 dana unit amanah patuh Syariah dengan keseluruhan Aset Di bawah Pengurusan (AUM) berjumlah RM1.4 bilion setakat 31 Okt 2024.

“Bagi tahun 2023, purata prestasi pulangan 19 dana unit amanah adalah sebanyak 5.1 peratus, serta purata prestasi pulangan dana-dana ini setakat 31 Okt 2024 adalah sebanyak 12.9 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berkenan nilai sinergi dan prestasi pulangan pelaburan, PMB Investment bagi tahun 2023 dan 2024 serta jaminan unjuran prestasi cemerlang pada 2025.

Rubiah berkata PMB Investment telah menjalin sinergi dan kerjasama dengan lapan institusi perbankan dan kewangan tempatan yang dilantik sebagai Penasihat Unit Amanah Institusi (IUTA) untuk mempromosikan dan mengedarkan dana amanah saham PMB Investment di seluruh negara. 

Antara institusi perbankan dan kewangan tempatan yang dilantik adalah Affin Bank Bhd, iFAST Capital Sdn Bhd, KAF Investment Funds Bhd, Phillip Mutual Bhd, TA Investment Management Bhd, Bank Simpanan Nasional, UOB Kay Hian Securities dan Bank Islam Malaysia Bhd.

Sementara itu, beliau berkata PMB Investment menyasar untuk mencapai pendapatan sejumlah RM70.56 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM15.5 juta pada 2025. 

Katanya, PMB investment telah merekodkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM37.20 juta dan RM4.81 juta pada 2023.

Manakala bagi tahun 2024, PMB Investment diunjur menjana pendapatan sebanyak RM55.46 juta manakala keuntungan selepas cukai meningkat sehingga RM11.4 juta.

“PMB investment (mencatatkan) prestasi amat baik, memberi peluang kepada bumiputera dari sudut pemilikan ekuiti bumiputera khasnya berkecimpung dan melabur dalam pasaran ekuiti dan bon, baik di peringkat tempatan dan peringkat global,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkenaan prestasi PMB Investment dan kemajuannya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy