AM

MFA ANJUR KONVENSYEN FRANCAIS ASEAN TAHUN DEPAN

12/12/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menganjurkan Konvensyen Francais ASEAN (AFC) tahun depan dengan tumpuan diberikan kepada kemampanan francais, digitalisasi dan pertumbuhan yang menghasilkan permeteraian deklarasi penting dalam kalangan negara ASEAN.

Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata AFC yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada 21 hingga 22 Mei itu menandakan komitmen bersama untuk memperkukuh industri francais serantau hasil inspirasi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Konvensyen dengan tema 'Shaping the Future of Franchising in ASEAN: Sustainability, Digitalization and Growth'  bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di ASEAN," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran AFC dan Franchise International Malaysia (FIM) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata program pameran FIM yang mendapat sokongan Majlis Francais Dunia (WFC) dan Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) turut diadakan di lokasi sama pada 22 hingga 24 Mei tahun depan.

Menurut Radzali, FIM tahun ini berjaya mencatatkan kehadiran melebihi 30,000 pengunjung serta merekodkan nilai jualan mencecah RM716 juta, yang memperlihat potensi besar dan daya tarikan sektor francais dalam pasaran global meskipun berdepan dengan ekonomi mencabar.

Justeru, beliau berkata MFA melihat penganjuran FIM perlu diteruskan sebagai satu daripada platform utama untuk membantu para usahawan khususnya ahli MFA dalam mempromosi dan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata bagi penganjuran tahun depan, FIM akan diadakan bersama beberapa program signifikan yang dirancang sebagai nilai tambah sekali gus memperkukuh keberkesanannya.

"Selain aktiviti pameran disediakan untuk mendapatkan potensi pelabur dan prospek francais, kami menggalakkan para pempamer untuk turut serta secara aktif dalam padanan perniagaan Franchise In-Buying Mission (FIBM) dan aktiviti edutainment yang dirangka sepanjang program berlangsung," katanya.

Radzali berkata lebih 250 ruang pameran akan disediakan di FIM 2025 dan semua penggiat industri serta usahawan diminta turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan mereka yang berminat boleh berhubung dengan Sekretariat MFA bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Radzali  berkata nilai jualan industri francais Malaysia mencatatkan lebih RM14 bilion tahun lepas dengan lebih 1,000 jenama francais berdaftar.

"Industri ini turut berkembang ke peringkat antarabangsa dengan lebih 70 jenama francais Malaysia kini beroperasi di lebih 80 negara. Antara destinasi utama termasuk Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika. Kejayaan ini membuktikan keupayaan jenama tempatan untuk bersaing di peringkat global," katanya.

  -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy