SUKAN

PIALA MALAYSIA: YUSRI KECEWA PEMAIN GAGAL MANFAATKAN PELUANG

14/12/2024 09:44 AM

MANJUNG, 14 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah meluahkan kekecewaan selepas pasukannya tumpas pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia walaupun beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan.

Beliau mengakui anak buahnya mempunyai banyak peluang namun tidak diterjemahkan kepada gol, menyebabkan mereka kempunan untuk meraih sekurang-kurangnya satu gol menentang Sri Pahang FC malam tadi untuk dibawa ke Temerloh pada aksi timbal balik 22 Dis ini.

Menurutnya, barisan pemain beraksi dengan baik apabila sering melancarkan serangan ke kubu lawan selain turut dihidangkan banyak peluang.

"Kami mempunyai banyak peluang dengan pemain berusaha sebaik mungkin namun peluang yang ada tidak dimanfaatkan walaupun terdapat dua atau tiga peluang menjaringkan gol pada babak pertama. 

"Pahang menghukum kami dengan satu serangan balas dan selepas lawan menjaringkan gol, pemain mula berusaha menyamakan kedudukan malah separuh masa kedua kita berjaya mengawal penuh permainan namun jaringan tidak kunjung tiba," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi. 

Katanya, hanya sedikit kesilapan, skuad The Bos Gaurus dihukum dengan satu gol pada babak pertama bagaimanapun secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dari segi mencari gol penyamaan. 

"Pemain sudah mencuba yang terbaik malah mereka sudah berusaha sebaik mungkin termasuk mencipta beberapa peluang dan kesungguhan mereka wajar dipuji. 

"Kita akur dengan kekalahan ini namun saya tekankan pemain kita masih mempunyai 90 minit lagi di Temerloh, 22 Dis depan untuk diperbaiki segala kelemahan pada aksi kedua nanti," katanya. 

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad berkata pihaknya memuji para pemain di samping mengingatkan mereka supaya tidak mengambil mudah pertemuan kedua kelak. 

"Sudah pasti Perak akan mempamerkan aksi menyerang seawal sepak mula dan pemain perlu sentiasa berwaspada dengan pergerakan pemain lawan terutama di posisi serangan yang dibarisi tonggak import berkualiti.

"Kita perlu bersedia sebaik mungkin untuk mengekang asakan Perak dan saya harap pemain tidak akan hilang fokus untuk memastikan kesilapan tidak berlaku," katanya. 

-- BERNAMA  

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy