GAYA HIDUP

Wakili Malaysia, Orang Orang Drum Theatre Alun Muzik Tradisional Di Hong Kong

14/12/2024 02:11 PM
Daripada Norhidayyu Zainal

 HONG KONG, 14 Dis (Bernama) -- Paluan gendang dilatari pantomin penuh emosi yang dipersembahkan oleh anak seni Malaysia berjaya memukau lebih 31,000 penonton antarabangsa, baru-baru ini.

Tidak sekadar teruja dengan kehebatan enam anak muda memalu instrumen gendang, penonton nyata terpikat akan keunikan persembahan Orang Orang Drum yang mempertontonkan khazanah budaya negara dan keharmonian pelbagai kaum menerusi muzik.

Menerusi ‘One Beat, One World: Connecting Through the Drum Carnival and 5G Live Concert’’ yang berlangsung di Art Park, West Kowloon Cultural District di sini pada 8 Dis lepas,  kumpulan yang ditubuhkan lebih sedekad lalu itu tampil dengan persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.

pic-2

Penolong Pengarah Artistik Orang Orang Drum Theatre Zyee Leow berkata ini termasuk penggunaan alat muzik tradisional rakyat Malaysia seperti sape, iaitu alat muzik kaum Orang Ulu, Sarawak; shi gu (gendang Cina), kulintangan (alat muzik tradisional idiofon Sabah) serta jidor (gendang Melayu).

"Menerusi gabungan alat muzik tradisional ini, kami persembahkan tiga lagu, iaitu Tuyang Sit In The Corner, Ayo Mama dan Blossom Bunga Raya. Kami sengaja memilih alat muzik tradisional yang meliputi pelbagai kaum untuk memperkenalkan keindahan seni muzik Malaysia kepada dunia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai kelainan, mereka mengadakan persembahan pantomin yang bergerak mengikut rentak paluan gendang serta alat muzik pelbagai kaum bagi memaparkan kisah di sebalik lagu, sekali gus mencipta kesatuan dalam muzik. 

pic-3

Selain Leow, kumpulan yang ditubuhkan pada 2013 ini turut dianggotai Boyz Chew Soon Heng yang merupakan pengarah artistik kumpulan, Leow Hui Min, Lim Jian Ru, Low Wai Kei dan Nick Ng Ze Hang serta pemuzik jemputan Rosemary Colony anak Joel Dunstan.

Mengulas lanjut, Leow berkata lagu Tuyang Sit In The Corner diadaptasi daripada tiga lagu rakyat Borneo, iaitu Tum Ketumba, Leleng dan Pemong Jae yang menggunakan bahasa Iban serta Kenyah, menjadi pilihan mereka kerana lagu itu bermaksud kawan bagi menggambarkan keharmonian masyarakat Malaysia.

"Tuyang bermaksud kawan kerana lagu ini ditulis untuk kawan-kawan yang sering dilupakan oleh masyarakat. Kami belajar daripada lagu rakyat dan kemudian mencipta satu komposisi baharu serta disesuaikan dengan gaya dan muzik semasa.

pic-4

"Sementara lagu Ayo Mama yang merupakan lagu Indonesia, diberi nafas baharu dengan susunan khas bersama Hong Kong Chinese Orchestra dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Cina. Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia dan ini adalah persembahan kami yang pertama di Hong Kong," katanya.

Leow turut  berharap persembahan mereka dapat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama dalam mempelbagaikan khazanah muzik negara.

"Kami sangat berbangga dan bertuah kerana dapat mewakili Malaysia daripada ribuan peserta lain. Pada kami, dram merupakan cara terbaik untuk menyatukan orang dan kami berharap dapat berkongsi budaya dengan orang lain melalui muzik," katanya.

pic-5 

Memasuki tahun kedua, program anjuran Hong Kong Chinese Orchestra dan ditaja oleh Chinachem Group ini menawarkan pelbagai pengalaman kebudayaan interaktif yang dipersembahkan oleh konsulat daripada negara seperti Jepun, India, Hungary, Poland, Mesir, Vietnam, Filipina dan Korea Selatan.

Acara menarik pada program itu termasuk persembahan dinamik oleh penari tap tempatan dan Jepun, pemain dram Korea, pemain dram tangan serta penari Xingjiang selain persembahan tabla dan tarian India, kesemuanya diiringi oleh Hong Kong Chinese Orchestra yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Artistik dan Konduktor Residen Chew Hee-chiat. 

Konsert turut menghidangkan persembahan oleh beberapa kumpulan dram warisan budaya tidak ketara dari China, antaranya Shaanxi Longgang Xinggu Drum Troupe, Yonhong Peace Drum Troupe of Lanzhou dan Ha Kwok Cheung Dragon, bersama-sama kumpulan tarian singa tempatan.

pic-6

 

Awal tahun ini, siri ‘One Beat, One World, Connecting Through the Drum’ ini menjelajah ke semua 18 daerah di Hong Kong dan mengadakan bengkel dram untuk kanak-kanak, remaja, warga emas dan etnik minoriti serta banduan muda dengan matlamat membina masyarakat inklusif.

Pengarah Eksekutif Hong Kong Chinese Orchestra Dr Celina Chin berkata sejak diadakan pada 2003, Festival Dram Hong Kong  bertujuan menyatukan komuniti melalui ritma dram dan mempromosikan keharmonian budaya.

“Peserta termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas, belia yang telah menjalani pemulihan serta etnik minoriti. Karnival dram tahun ini bukan sahaja meneruskan misi itu tetapi juga memperkenalkan elemen tarian inovatif, mengetengahkan peranan unik Hong Kong sebagai platform bagi pertukaran budaya,” katanya.

pic-7

Ketua Pegawai Impak Perniagaan Chinachem Group Sylvia Chung berkata syarikat itu komited dalam mempromosikan seni dan budaya serta percaya seni mempunyai kuasa untuk memperkaya kualiti kehidupan komuniti.

“Kami bangga dapat bekerjasama sekali lagi dengan Hong Kong Chinese Orchestra bagi mengadakan siri ‘One Beat, One World, Connecting Through the Drum’ yang menghimpunkan orang ramai daripada pelbagai latar belakang sejak lebih enam bulan lalu,” katanya. 

Acara itu yang disokong oleh Hong Kong Tourism Board menerusi “Pilot Scheme for Local Characteristic Tourism Events” memberi inspirasi kepada penonton setempat dan dalam talian menerusi penyatuan yang dibawanya.

Konsert turut menampilkan tayangan perdana video yang dirakam di lokasi ikonik sekitar Hong Kong, mempromosikan pelancongan kebudayaan dan mempamerkan warisan unik wilayah itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy