AM

KKR UNJUR RM200 BILION LIBAT SEKTOR PEMBINAAN TAHUN DEPAN

15/12/2024 03:09 PM

PONTIAN, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengunjurkan perbelanjaan di sektor pembinaan sebanyak RM200 bilion yang akan merangkumi sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pihak swasta, tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata unjuran berkenaan termasuk projek pembinaan jalan, lebuh raya, jambatan, membaiki cerun dan bangunan, penyelenggaraan pelbagai kemudahan serta menyambung projek sedia ada.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM88 bilion adalah bajet daripada kerajaan manakala anggaran RM32 bilion bagi projek yang dilaksanakan oleh GLC dan GLIC serta RM80 bilion pula daripada sektor swasta.

"Tahun depan akan menyaksikan pembangunan negara yang fokus kepada kepentingan rakyat dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek yang memberikan manfaat termasuk membantu keperluan rakyat di kawasan pedalaman," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kemahiran Kerjaya dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pembinaan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata dengan unjuran perbelanjaan yang besar itu, negara memerlukan lebih ramai pekerja mahir dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata ini selaras dengan pelaksanaan program TVET pembinaan oleh Akedemi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan yang memerlukan lebih ramai pelatih bagi memenuhi keperluan industri binaan pada masa depan.

Hingga kini, beliau berkata ABM Wilayah Selatan telah berjaya melatih 70,000 pekerja binaan mahir selain melahirkan pemilik syarikat (kontraktor) sekurang-kurangnya kelas G3.

"Pada tahun ini sahaja, ABM Wilayah Selatan telah melatih 808 belia dan 782 personel binaan serta mengakreditasi 3,100 pekerja binaan yang mahir dalam bidang masing-masing.

"Harapan kita pada tahun depan akan dapat melatih lebih 2,000 belia bagi mengisi keperluan tenaga mahir termasuk di Johor yang sedang rancak melaksanakan kerja-kerja pembangunan di pelbagai sektor," katanya.

Tambahnya pada masa sama ABM juga berkolaborasi dengan Johor Petroleum Development Coporation (JPDC) dan Unit Startegik Modal Insan Johor (USMIJ) dalam melatih belia bagi diserap dalam pekerjaan yang berkaitan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy