AM

TMM2024: Lebih 13 Juta Pengunjung, Pelancong Direkod Sehingga November

27/12/2024 12:40 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- Sebanyak 13,584,042 pengunjung dan pelancong direkodkan memasuki Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sehingga November lalu, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata jumlah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 6,115,813 orang atau 81.89 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10,249,895 orang atau 75.46 peratus adalah pelancong domestik, manakala 3,334,147 orang atau 24.54 peratus adalah pelancong asing.

"Pelancong domestik didominasi oleh mereka dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Sementara itu, pelancong dari China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Vietnam merupakan pelancong asing teramai yang datang ke Melaka sepanjang TMM2024," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai jumlah kemasukan pelancong secara keseluruhan sepanjang penganjuran TMM2024 setakat ini.

Abdul Razak berkata anggaran keuntungan atau pendapatan (tourism receipts) yang diterima kerajaan negeri sempena penganjuran TMM2024 pula sebanyak RM12.68 bilion.

Beliau berkata ia merangkumi purata perbelanjaan pelancong sebanyak RM544.66 seorang bagi sehari.

“Perbelanjaan pelancongg ini merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum, insurans, membeli-belah, hiburan, lawatan yang diaturkan dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy