AM

242 MINUMAN DIFORMULASI SEMULA KEPADA KURANG GULA - DZULKEFLY

16/12/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Sebanyak 242 produk minuman telah diformulasi semula kepada kurang gula untuk dijual di pasaran Malaysia di bawah Inisiatif Healthier Choice Logo (HCL) susulan pelaksanaan cukai terhadap minuman bergula.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia hasil Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula di Malaysia yang dijalankan pada 2022, selepas dua tahun pelaksanaan cukai itu yang dimulakan pada 2019.

“Syarikat pengeluar minuman manis bergula telah mengubah formulasi produk mereka kepada minuman kurang gula bagi mengelakkan membayar cukai terbabit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding mengenai keberhasilan yang dicapai melalui pelaksanaan cukai gula oleh kerajaan dan sama ada ia dapat memberi kesan positif kepada impak kesihatan awam.

Dzulkefly berkata hasil kajian yang dikeluarkan tahun ini turut mendapati pengenaan cukai sebanyak 40 sen seliter telah memberi sedikit kesan, iaitu hanya melibatkan 2.24 peratus kenaikan harga pasaran bagi minuman bergula berbanding 8.83 peratus jangkaan awal.

“Apa yang lebih menarik ialah impak berikutan pengenaan cukai ini menunjukkan pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja, iaitu daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.

“Golongan muda dan berpendapatan rendah B40 merupakan pengguna tertinggi dan paling banyak berbelanja untuk minuman manis telah menerima impak positif daripada pelaksanaan cukai ini,” katanya.

Dzulkefly berkata hasil dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja menunjukkan penurunan prevalen pengambilan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu daripada 36.9 peratus pada 2019 kepada 32.4 peratus pada 2022.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan impak lebih positif dan signifikan akan diperoleh khususnya dalam pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan masyarakat dengan pengenaan cukai kepada 90 sen per liter seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy